
KUALA LUMPUR, 23 Januari – Pemain perseorangan wanita negara, K Letshanaa mencatat pencapaian terbaik dalam kariernya apabila buat kali pertama mara ke separuh akhir kejohanan bertaraf Super 500 selepas menewaskan wakil Taiwan, Huang Yu Hsuan pada saingan Masters Indonesia, hari ini.
- Menewaskan Huang Yu Hsuan 21-17, 21-18 dalam suku akhir untuk mara ke separuh akhir Super 500.
- Menamatkan penantian dua tahun wakil perseorangan wanita negara ke separuh akhir kejohanan Super 500.
- Prestasi awal positif di bawah ketua jurulatih baru, Iskandar Zulkarnain Zainuddin sejak Oktober lalu.
- Akan bertemu Pitchamon Opatniputh untuk peluang jadi pemain wanita pertama negara ke final Super 500.
Pemain ranking ke-42 dunia itu menyingkirkan Huang yang berada di kedudukan ke-37 dunia dengan keputusan 21-17, 21-18 dalam aksi suku akhir yang berlangsung selama 40 minit di Istora Senayan.
Letshanaa mempamerkan permainan agresif dan kawalan gelanggang yang baik untuk menguasai set pertama, sekali gus menyukarkan lawan mengatur serangan balas.
Saingan set kedua berlangsung sengit apabila kedua-dua pemain terikat 16-16 sebelum Letshanaa mengutip empat mata berturut-turut untuk mendahului 20-16. Huang cuba bangkit dengan meraih dua mata, namun Letshanaa kekal konsisten sebelum menamatkan perlawanan secara straight set 21-18.
Kemenangan itu membolehkan Letshanaa membalas kekalahan kepada Huang dalam pertemuan pertama mereka di Masters Indonesia 2023.
Pencapaian tersebut turut menamatkan penantian dua tahun kem badminton wanita negara untuk melihat wakil perseorangan mara ke separuh akhir kejohanan Super 500, kali terakhir dicapai oleh Goh Jin Wei pada Terbuka Hong Kong 2023.
Prestasi itu juga mencerminkan hasil awal sentuhan ketua jurulatih perseorangan wanita, Iskandar Zulkarnain Zainuddin yang mula menggalas tugas pada Oktober lalu.
Esok, Letshanaa dijadual menentang pemain Thailand, Pitchamon Opatniputh yang menghuni ranking ke-36 dunia bagi perebutan tiket ke perlawanan akhir.
Letshanaa berpeluang mencipta sejarah sebagai pemain perseorangan wanita pertama negara mara ke final kejohanan bertaraf Super 500 sekiranya berjaya melepasi halangan tersebut.