Lens kembali terajui Ligue 1

Pemain pertahanan Perancis RC Lens, Ruben Aguilar (kiri), meraikan jaringan gol bersama rakan sepasukan/ Foto AFP

LENS, 31 Januari – RC Lens kembali menduduki tangga teratas Liga Perancis Ligue 1 selepas mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Le Havre dalam aksi di laman sendiri pada Jumaat.

RINGKASAN BERITA AI
  • RC Lens kembali di puncak Ligue 1 selepas kemenangan 1-0 ke atas Le Havre.
  • Ruben Aguilar menjaringkan gol tunggal pada masa kecederaan separuh masa pertama.
  • Kemenangan memberi Lens kelebihan satu mata atas PSG selepas 20 perlawanan.

Gol tunggal perlawanan dijaringkan oleh pemain pertahanan kanan, Ruben Aguilar, yang menyambut hantaran lintang Matthieu Udol di tiang jauh pada masa kecederaan separuh masa pertama dalam keadaan hujan di utara Perancis.

Kemenangan itu menandakan kebangkitan semula Lens selepas tewas 3-1 kepada Marseille minggu lalu, sekali gus menamatkan rentetan 10 kemenangan berturut-turut dalam semua pertandingan liga dan piala.

Lens sebelum perlawanan itu berada di kedudukan kedua liga, dua mata di belakang Paris Saint-Germain (PSG), namun kemenangan tersebut membolehkan mereka mendahului liga dengan kelebihan satu mata selepas 20 perlawanan.

Bagaimanapun, PSG kendalian Luis Enrique berpeluang merampas semula kedudukan teratas sekiranya mereka mengelak kekalahan dalam perlawanan menentang Strasbourg pada Ahad.

Lens kini turut memiliki kelebihan lapan mata ke atas Marseille, yang akan berusaha bangkit daripada kekecewaan tersingkir daripada Liga Juara-Juara apabila berkunjung ke Paris FC pada Sabtu.

Dalam satu lagi perlawanan penting hujung minggu ini, Lyon akan menerima kunjungan Lille pada Ahad, melibatkan pasukan di kedudukan keempat dan kelima liga.- AFP