
KUALA LUMPUR, 23 Februari – Lebih separuh daripada 16 jurulatih tempatan yang bakal dilantik Olahraga Malaysia (MA) terdiri daripada bekas atlet negara.
- Penstrukturan semula kejurulatihan untuk memperkemas sistem latihan dan persiapan atlet menghadapi kejohanan utama.
- Pelantikan 16 jurulatih tempatan, termasuk banyak bekas atlet, serta tiga jurulatih luar negara untuk acara spesifik.
- Pelantikan ketua jurulatih bagi setiap disiplin utama dan program latihan bermula 1 Mac, fokus kepada pelaksanaan sistematik.
Setiausaha Agungnya Nurhayati Karim berkata, keputusan itu merupakan sebahagian daripada penstrukturan menyeluruh bagi memperkemas sistem latihan serta memantapkan persiapan atlet bagi menghadapi kejohanan utama.
“Untuk barisan kejurulatih kita telah capai satu keputusan bersama iaitu keputusan mesyuarat hari ini untuk melantik 16 orang jurulatih tempatan, surat-surat lantikan akan disediakan dan diedarkan selepas ini dan yang sudah terima kemudian akan kita bagi senarai akhir dan ada juga perancangan untuk ambil jurulatih luar negara sebanyak tiga slot telah diluluskan
“Ada wajah baharu ada yang disambung semula dan kita melihat ramai bekas-bekas atlet juga merupakan jurulatih yang ditawarkan dibawah program” katanya.
Beliau menyatakan perkara itu selepas mesyuarat jawatankuasa kerja di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil.
Tiga jurulatih luar negara yang akan dibawa masuk disasar bagi memperkasakan acara balingan, pecut serta larian jarak sederhana dan jauh.
Calon jurulatih itu sedang dikenal pasti dari India, Jerman, Afrika Selatan dan Botswana, dengan pemilihan akhir masih dalam proses.
Sebagai sebahagian daripada penstrukturan sistem kejurulatihan, MA turut akan melantik ketua jurulatih bagi setiap disiplin utama iaitu pecut, lompatan, balingan serta jarak sederhana dan jauh, bagi memastikan sistem latihan lebih tersusun dan berfokus.
Surat lantikan dijangka diedarkan dalam masa terdekat, manakala pengumuman penuh barisan kejurulatihan dijangka dibuat minggu hadapan.
MA bagaimanapun tidak merancang untuk melantik pengarah teknikal, sebaliknya memberi tumpuan kepada pengukuhan struktur sedia ada dan pelaksanaan program latihan yang lebih sistematik.
Program latihan dijadual bermula 1 Mac ini, dengan sasaran penyertaan atlet negara dalam kira-kira 20 kejohanan sepanjang musim.