
KUALA LUMPUR, 2 April – Pemain skuasy remaja negara tidak berdepan masalah melangkah ke suku akhir Kejohanan Skuasy Remaja Terbuka Antarabangsa Touch ‘n Go Group SRAFTKL 2026 di Kompleks Sukan Jalan Duta, hari ini.
- Bermain di laman sendiri memberi kelebihan, terutama beraksi di hadapan penyokong sendiri.
- Jinoreeka Ning menang 11-0, 11-4, 11-2; berpuas hati tetapi akan bersiap untuk perlawanan sukar esok.
- Altamis Aqhar Sallam Sufian menang dalam empat set dan mahu lebih yakin, agresif serta kurangkan kesilapan.
Bermain di laman sendiri memberi lebih manfaat kepada pemain negara, terutama beraksi di hadapan penyokong sendiri.
Pilihan kedua kejohanan bagi kategori Remaja Perempuan Bawah-19 Tahun, Jinoreeka Ning tidak berdepan masalah ke pusingan lapan terbaik.
Ini selepas beliau menewaskan Sharifah Balqis Amany Syed Syahman Sumardi 11-0, 11-4, 11-2 untuk bertemu Puteri Rania Zahirah Mior Ahmad Nazril yang menundukkan Nurul Nisa Nasuha Md Nazir 11-9, 11-7, 11-7.
Beliau berkata, perlawanan hari ini adalah sangat baik dan pada masa sama sangat berpuas hati dengan prestasi hari ini.
“Walaupun dalam acara terakhir saya menang, tetapi untuk esok saya masih perlu membuat persediaan dan bersiap sedia untuk perlawanan yang sukar, dan yang paling penting, bermain dengan baik esok,” katanya.
Sementara itu, pilihan kedua kejohanan, Altamis Aqhar Sallam Sufian bagaimanapun terpaksa beraksi sehingga empat set sebelum menang 11-8, 11-7, 8-11, 11-8 ke atas Khailash Ravi Kumar untuk berdepan rakan senegara, Tay Jun Ren yang menewaskan Matheesha Thevindu Wijesekara 11-7,11-7, 14-12.
Katanya, peluangnya untuk melangkah ke pusingan akhir kejohanan itu sangat tinggi dan perlu cuba untuk beraksi dengan lebih yakin selain lebih agresif dalam corak permainan.
“Game ok, berpuas hati tetapi rasa tidak cukup baik lagi perlu kerja keras banyak lagi dari segi pukulan, pilihan pukulan tetapi setakat ini sangat baik tetapi saya cuba untuk kurangkan kesilapan dan main rally banyak dan lebih sabar,” katanya.
Kejohanan itu menyaksikan peserta daripada 17 negara merebut 12 trofi untuk setiap kategori bermula bawah 9 Tahun hingga bawah 19 tahun.
Selain Kompleks Sukan Jalan Duta, kejohanan itu juga turut berlangsung di gelanggang skuasy Universiti Malaya.