
KUALA LUMPUR, 26 Januari – Persatuan Badminton Malaysia (BAM) merakamkan ucapan takziah atas pemergian tokoh legenda badminton negara, Datuk Tan Yee Khan yang meninggal dunia pada usia 86 tahun.
- Persatuan Badminton Malaysia mengucapkan takziah atas pemergian Datuk Tan Yee Khan, tokoh legenda usia 86 tahun.
- Beliau anggota skuad yang menjuarai Piala Thomas 1967 dan berpasangan dominan dengan Datuk Ng Boon Bee.
- Meraih pingat emas Sukan Asia 1962, 1966; juara All England 1965 dan 1966; juara Asia 1965.
- Memenangi lima Terbuka Malaysia dan tiga emas Sukan SEA, legasi terus jadi inspirasi generasi akan datang.
Dalam satu kenyataan, BAM menyifatkan mendiang sebagai antara figura teragung dalam sejarah badminton Malaysia, yang banyak menyumbang kepada kegemilangan sukan itu di peringkat antarabangsa.
Mendiang merupakan anggota skuad kebangsaan yang mencipta sejarah menjuarai Piala Thomas 1967, selain membentuk gandingan beregu lelaki paling dominan era 1960-an bersama mendiang Datuk Ng Boon Bee.
Sepanjang kariernya, Datuk Yee Khan meraih dua pingat emas beregu lelaki Sukan Asia pada edisi 1962 dan 1966, selain menjuarai All England pada 1965 dan 1966, kejuaraan Asia 1965 dan tiga pingat emas Sukan SEA masing-masing pada 1961, 1965 serta 1967.
Beliau turut memenangi lima gelaran Terbuka Malaysia pada 1963, 1964, 1965, 1967 dan 1968, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai kuasa besar badminton dunia ketika itu.
BAM menegaskan sumbangan dan legasi mendiang akan terus dikenang serta menjadi inspirasi kepada generasi pemain badminton negara pada masa hadapan.
Persatuan itu turut menzahirkan ucapan simpati dan takziah kepada keluarga, rakan serta kenalan mendiang dalam menghadapi saat sukar ini.