
KUALA LUMPUR, 10 Mac – Juara dunia para berbasikal 2025, Mohamad Yusof Hafizi Shaharuddin akan mengetuai cabaran skuad para berbasikal negara pada Sukan Komanwel 2026 di Glasgow, Scotland.
- Malaysia tetap bersedia memberi saingan walaupun persaingan Komanwel agak sukar.
- Pasukan menghantar seorang pelumba individu dan dua gandingan tandem lelaki serta wanita untuk tiga acara.
- Pemilihan atlet dibuat berdasarkan prestasi semasa dan pencapaian dalam kejohanan antarabangsa seperti Kejohanan Dunia.
- Skuad kini menjalani latihan di Velodrom Nasional Malaysia, acara berlangsung 30 Julai hingga 2 Ogos di Sir Chris Hoy Velodrome, Glasgow.
Timbalan Biro Para Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia, Ramlay Ibrahim berkata Malaysia tetap bersedia memberi saingan.
Begitupun beliau mengakui peluang meraih pingat agak sukar berikutan persaingan sengit daripada negara Komanwel lain.
“Kita dapat juga slot untuk pergi ke Sukan Komanwel tetapi temasya ini memang selalunya kita payah. Pasukan nak hantar juga kita cubalah,” katanya selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kerja di Majlis Sukan Negara, di sini.
Selain Hafizi, pasukan negara turut diwakili seorang lagi pelumba individu serta dua gandingan pelumba tandem lelaki dan wanita yang akan bersaing dalam tiga acara.
Menurut Ramlay, pemilihan atlet dibuat berdasarkan prestasi semasa termasuk pencapaian dalam beberapa kejohanan antarabangsa seperti Kejohanan Dunia sebelum ini.
Ketika ini skuad para berbasikal negara menjalani latihan di Velodrom Nasional Malaysia sebagai persiapan menghadapi temasya tersebut.
Antara acara dipertandingkan ialah pecut tandem, ujian masa satu kilometer tandem, ujian masa 1km C1-3 serta kejar-mengejar individu C1-3 lelaki dan wanita.
Acara berbasikal para dijadual berlangsung dari 30 Julai hingga 2 Ogos di Sir Chris Hoy Velodrome, Glasgow.