
LEIPZIG, 19 Januari – Bekas pengurus Liverpool, Jurgen Klopp menegaskan beliau tidak pernah menganggap dirinya sebagai jurulatih bertaraf dunia, meski pun meninggalkan Liverpool pada 2024 dengan reputasi tinggi.
- Klopp tidak anggap dirinya jurulatih bertaraf dunia kerana masih banyak soalan belum terjawab.
- Sekarang sebagai ketua global Red Bull, beliau mahu sokong jurulatih dan hadir ketika mereka rasa bersendirian.
- Falsafahnya mudah: bermain untuk menang, memberi segala-galanya walau tidak menjamin kejayaan.
- Beliau berpuas hati dengan peranan baru dan tidak menjangka kembali ke kejurulatihan meskipun tidak menolak kemungkinan.
Jelas beliau, banyak persoalan membelenggu dirinya selepas meninggalkan Anfield.
“Saya tidak pernah menganggap diri saya jurulatih kelas dunia kerana saya masih ada banyak soalan. Saya fikir, ‘bagaimana saya boleh dianggap kelas dunia dengan soalan-soalan ini?’” katanya.
Kini sebagai ketua global bola sepak Red Bull, Klopp menguruskan rangkaian kelab seperti RB Leipzig, New York Red Bulls dan Paris FC.
Beliau mahu menjadi penyokong utama kepada jurulatih.
“Peranan saya ialah menjadi orang yang saya sendiri tidak pernah ada. Saya mahu berada di saat mereka berasa bersendirian,” ujarnya.
Klopp dikenali kerana mengubah pasukan pada prestasi rendah.
Pendekatannya mudah: bermain untuk menang.
“Berita paling teruk ialah kamu boleh kalah. Jadi cubalah menang,” katanya.
Beliau sering mengingatkan pemain bahawa usaha sepenuhnya belum tentu membawa kemenangan, tetapi itulah satu-satunya peluang.

“Memberi segala-galanya tidak menjamin apa-apa, tetapi kadang-kadang kami mendapat sesuatu”, katanya.
Klopp turut menegaskan bahawa beliau tidak memerlukan detik mengangkat piala untuk merasai kepuasan.
Baginya, perjalanan sepanjang musim lebih bermakna daripada kemenangan itu sendiri.
Pengarah sukan RB Leipzig, Marcel Schaefer, menyifatkan Klopp sebagai figura yang mudah mempengaruhi sesiapa.
“Dia ada sesuatu yang unik. Dia boleh memikat orang dalam lima hingga 10 minit,” katanya.
Menurut Schaefer, Klopp turut memainkan peranan besar dalam rundingan pemain.
Meskipun dikaitkan dengan banyak pasukan besar, Klopp menjangka dirinya tidak akan kembali ke arena kejurulatihan.
“Saya tidak jangka akan mengubah fikiran, tetapi saya tidak tahu,” katanya. – AFP