Keys tepati status juara bertahan, lepasi pusingan awal Terbuka Australia

Pemain Amerika Syarikat, Madison Keys membalas pukulan lawan dari Ukraine, Oleksandra Oliynykova pada pusingan pertama Terbuka Australia/Foto AFP

Melbourne, 20 Januari – Juara bertahan Terbuka Australia, Madison Keys berdepan ujian awal sebelum mara ke pusingan kedua selepas menewaskan pemain Ukraine, Oleksandra Oliynykova 7-6, 6-1 dalam aksi pusingan pertama, hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Keys diuji awal selepas bergelut menyesuaikan diri dengan corak permainan lawan dalam set pertama.
  • Beliau ketinggalan 0-4 tetapi bangkit menamatkan set pertama memanfaatkan forehand kuatnya.
  • Dalam set kedua Keys memperkemas permainan, hanya tujuh kesilapan untuk kemenangan selesa.
  • Keys akan berdepan rakan senegara Ashlyn Krueger di pusingan kedua.

Buat pertama kali dalam kerjayanya, pemain pilihan kesembilan dari Amerika Syarikat itu turun ke gelanggang Grand Slam sebagai penyandang juara.

Namun, Keys bergelut pada set pertama apabila gagal menyesuaikan diri dengan corak permainan lawannya.

Keys melakukan banyak kesilapan mudah dan ketinggalan 0-4 sebelum bangkit memungut empat mata berturut-turut.

Pukulan forehand dilakukan pemain berusia 29 tahun itu kemudian banyak membantunya memperoleh mata dan seterusnya memenangi set pertama.

Di set berikutnya, Keys memperkemaskan permainan dengan hanya melakukan tujuh kesilapan untuk memastikan kemenangan selesa.

Beliau bakal bertemu rakan senegara, Ashlyn Krueger pada pusingan kedua.

Terdahulu, Krueger menewaskan pemain Republik Czech, Sara Bejlek 6-3, 6-3 dalam perlawanan pembukaan.

Sementara itu, beberapa pemain pilihan wanita turut tersingkir, antaranya wakil Australia, Maya Joint yang kalah kepada Tereza Valentova dari Republik Czech. – REUTERS