Kem Ping Pong menanti lampu hijau MOM ke Sukan Asia

Jurulatih kebangsaan, Beh Lee Wei/ Foto RTM

KUALA LUMPUR, 3 Mac – Persatuan Pingpong Malaysia (TTAM) berharap Majlis Olimpik Malaysia (MOM) memberi laluan kepada skuad negara untuk beraksi pada Sukan Asia 2026 di Aichi-Nagoya, Jepun, September ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • TTAM mohon MOM beri kelulusan supaya skuad pingpong negara boleh beraksi di Sukan Asia 2026.
  • Sukan Asia penting untuk kutipan mata ranking bagi membantu laluan ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028.
  • Fokus utama ialah kutipan mata ranking dan pendedahan antarabangsa; sasaran pingat sekunder.

Jurulatih kebangsaan, Beh Lee Wei berkata temasya itu penting sebagai platform mengumpul mata ranking bagi melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles.

Menurutnya, Sukan Asia menjadi antara kejohanan utama menawarkan mata ranking, selain Kejohanan Dunia di London pada April dan Kejohanan Komanwel di India pada Julai.

“Kami tahu Sukan Komanwel tiada acara pingpong. Jadi Sukan Asia amat penting dan kami harap mendapat kelulusan daripada MOM,” katanya selepas mesyuarat jawatankuasa kerja di Bukit Jalil.

Lee Wei berkata sasaran pingat tetap ada, namun keutamaan adalah kutipan mata ranking bagi meningkatkan kedudukan pemain negara di peringkat antarabangsa.

Katanya, Malaysia kini masih ketinggalan dari segi mata ranking dan pendedahan pertandingan berbanding negara seperti Singapura.

Beliau turut berharap skuad negara dapat dihantar dengan kekuatan penuh ke Sukan Asia yang dijadual berlangsung dari 19 September hingga 4 Oktober ini.