
SHAH ALAM, 13 Februari – Malaysia meletakkan sasaran untuk muncul juara keseluruhan pada Kejohanan Boling Padang Jemputan 7 Negara yang akan berlangsung dari 15 hingga 18 Februari di Stadium Juara, Kompleks Sukan Negara Bukit Kiara.
- Malaysia mensasarkan gelaran juara keseluruhan dalam kejohanan boling padang jemputan itu.
- Acara jadi platform menguji kesiapsiagaan pasukan menentang lawan Komanwel terkemuka.
- Skuad tuan rumah menurunkan dua pasukan; pemilihan akhir pilih tiga lelaki dan tiga wanita.
Kejohanan tersebut menghimpunkan lapan pasukan daripada enam negara Komanwel termasuk New Zealand, India, Hong Kong, China, Singapura dan Australia.
Presiden Persekutuan Boling Padang Malaysia (PLBM), Datuk Awalan Abdul Aziz berkata, kejohanan berkenaan juga akan menjadi platform kepada skuad negara menguji tahap kesiapsiagaan menentang pasukan terbaik dunia.
“Bagi penyertaan kejohanan pada kali ini, kita telah menjemput negara-negara Komanwel yang besar untuk menyertai kejohanan ini. Walau bagaimanapun, kebanyakan negara Eropah terutamanya England, Wales, Scotland dan Ireland tidak dapat menyertai.
“Pasukan Australia telah pun datang awal untuk berlatih dengan kita pada dua minggu lepas. Oleh kerana itu, pasukan kebangsaan Australia mereka tidak hadir pada kali ini kerana mereka telah pun datang untuk berlatih dengan kita.” katanya dalam sidang media di sini.
Tambah beliau, pasukan New Zealand telah menghantar dua pasukan terbaik untuk menjadikan kejohanan itu sebagai medan pemilihan atlet ke Sukan Komanwel Glasgow 2026 pada Julai ini.
Sebagai tuan rumah, Malaysia akan menurunkan dua pasukan dengan senarai awal melibatkan enam pemain lelaki dan enam pemain wanita.
“Kita juga mengambil inisiatif yang sama yang mana kejohanan ini merupakan kejohanan penting dan terakhir sebelum pemilihan atlet yang akan menyertai Sukan Komanwel di Glasgow nanti,
“Pemilihan terakhir kita akan pilih tiga lelaki dan tiga wanita untuk mewakili negara,” jelasnya.
Juara Piala Dunia 2025, Emma Firyana Saroji serta Soufi Rusli dijangka menjadi sandaran negara dalam mengharungi cabaran di kejohanan berkenaan.