
ISKANDAR PUTERI, 24 Januari – Johor Darul Takzim (JDT) menempah slot suku akhir Piala Malaysia selepas menang tipis 1-0 menentang PDRM FC pada aksi kedua pusingan 16 terbaik di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, hari ini.
- JDT mara ke suku akhir Piala Malaysia selepas mengalahkan PDRM FC 1-0 pada aksi kedua pusingan 16 terbaik.
- Kemenangan keseluruhan agregat 11-1 memastikan JDT terus melangkah ke peringkat seterusnya.
- Alberto Diaz Martin menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-66, memecah kebuntuan lawan.
- Ketua Jurulatih Xisco Munoz kecewa prestasi kurang memuaskan dan mahu pembaikan sebelum perlawanan seterusnya.
Kemenangan menjadikan JDT mengatasi PDRM FC 11-1 secara agregat.
Babak pertama perlawanan menyaksikan Harimau Selatan memberikan asakan demi asakan ke gawang gol PDRM FC, namun benteng pertahanannya dan tepisan Nor Hakeem Hamidun menidakkan cubaan pasukan tuan rumah.
PDRM FC terus bertahan pada babak kedua sebelum Alberto Diaz Martin berjaya mematahkan tembok pasukan lawan pada minit ke 66.
Meskipun menang dengan agregat besar, Ketua Jurulatih JDT, Xisco Munoz sedikit kecewa kerana beliau menjangkakan pasukannya mampu memberikan prestasi lebih baik pada hari ini.
Bagaimanapun, beliau akan menilai perlawanan tersebut untuk memperbaiki prestasi bagi perlawanan berikutnya.
“Saya rasa kami boleh bermain dengan lebih baik seperti perlawanan pertama menentang PDRM FC.
“Ketika itu prestasi kami sangat baik dan kami cuba ulanginya untuk perlawanan akan datang seperti Liga Juara yang memerlukan permainan lebih hebat,” katanya.
Sementara itu, Pengurus PDRM FC, Shamsul Hisham Abd Razak mengakui walaupun tewas, anak buahnya berjaya mengurangkan kesilapan, selain memahami peranan semasa perlawanan.
JDT bakal bertemu Melaka FC pada perlawanan suku akhir Piala Malaysia.