JDT sedia galas misi tewaskan Vissel Kobe

Ketua jurulatih JDT, Xisco Munoz (kiri) bersama pemainnya, Bergson Da Silva pada sidang media menjelang perlawanan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) 2025-2026/ BERNAMA

ISKANDAR PUTERI, 16 Februari – Johor Darul Takzim (JDT) menjangkakan perlawanan yang sukar, menentang Vissel Kobe, dalam perlawanan Liga Juara – Juara Asia Elite (ACLE) di Iskandar Puteri, pada malam esok.

RINGKASAN BERITA AI
  • JDT jangkakan perlawanan sukar menentang Vissel Kobe di Iskandar Puteri esok malam.
  • Xisco Mahu pemain mulakan perlawanan dengan penuh tenaga untuk buka potensi pasukan.
  • JDT perlu fokus sepanjang 90 minit bagi mendapatkan kelebihan menentang pasukan Jepun.
  • Vissel Kobe beri amaran tentang serangan pantas JDT dan kekuatan mereka dalam set piece.

Ketua jurulatih JDT, Xisco Munoz berkata pemain JDT perlu memulakan perlawanan dengan penuh tenaga bagi membuka potensi dalam perlawanan itu.

Skuad Harimau Selatan juga perlu memberikan fokus sepanjang 90 minit perlawanan, bagi mendapatkan kelebihan menentang skuad dari Jepun itu.

“Salah satu perkara tentang Vissel Kobe adalah mereka sebuah pasukan baik, mereka mengawal permainan dalam situasi berbeza, dalam perlawanan moden berskala kecil, mereka mempunyai statistik baik, semasa bermain secara menyerang dan bertahan secara baik, mereka juga bagus semasa ‘set piece’, yang paling penting adalah untuk kita menonjolkan rentak permainan dan karakter JDT,” katanya pada sidang media praperlawanan di sini hari ini.

Sementara itu, ketua jurulatifh Vissel Kobe, Michael Skibbe menjangkakan JDT akan memberikan asakan hebat pada perlawanan malam esok.

Barisan pertahanan kelab Jepun itu perlu berwaspada dengan bahagian serangan JDT yang dilihat pantas serta bagus ketika melakukan tandukan.

“Kami tahu JDT beraksi sangat baik pada tahun lalu, termasuk semasa perlawanan antarabangsa, jadi sebab ini kami tahu perlawanan esok perlu berada di tahap tinggi,” jelasnya.