
BOGOTA, 3 April – Kapten skuad bola sepak Colombia, James Rodriguez, telah dimasukkan ke hospital selama tiga hari akibat dehidrasi teruk susulan perlawanan persahabatan menentang Perancis, menurut Persekutuan Bola Sepak Colombia pada Khamis.
- Rodriguez dikeluarkan pada minit ke-63 selepas kelihatan lesu dan gagal memberikan impak dalam perlawanan.
- Minnesota United mengesahkan Rodriguez dalam proses pemulihan; status penglibatan menentang LA Galaxy akan dikemas kini Jumaat.
- Tahap kecergasan beliau menimbulkan keraguan menjelang Piala Dunia; Nestor Lorenzo dikecam kerana menyenaraikan beliau sebagai kesebelasan utama.
Bekas pemain penyerang Real Madrid dan Everton yang kini berusia 34 tahun itu beraksi dalam perlawanan pemanas badan Piala Dunia di Landover, Maryland pada Ahad, menyaksikan Colombia tewas 1-3.
Rodriguez dikeluarkan pada minit ke-63 selepas kelihatan lesu dan gagal memberikan impak dalam perlawanan tersebut.
Menurut kenyataan persekutuan itu, Rodriguez “menunjukkan gejala dehidrasi teruk yang memerlukan pemantauan di hospital sepanjang 72 jam yang lalu.”
Beliau dibawa ke sebuah hospital di Minnesota — lokasi kelabnya dalam Liga Bola Sepak Utama (MLS), Minnesota United bagi tujuan “pemantauan klinikal pencegahan dan proses pemulihan.”
Dalam pada itu, Minnesota United mengesahkan bahawa Rodriguez kini dalam proses pemulihan dan memaklumkan kepada AFP bahawa status penglibatannya untuk pertembungan menentang LA Galaxy hujung minggu ini akan dikemas kini pada Jumaat.
Rodriguez menyertai pasukan MLS tersebut pada Februari lalu, namun hanya sempat beraksi selama 39 minit setakat ini akibat masalah kecederaan.
Bagaimanapun, kenyataan persekutuan menegaskan bahawa kemasukan beliau ke hospital kali ini tidak mempunyai kaitan dengan kecederaan dialaminya sebelum ini.
Tahap kecergasan fizikal beliau terus menjadi tanda tanya menjelang kempen Piala Dunia Colombia musim panas ini, menyaksikan mereka dijadualkan menentang Uzbekistan, Republik Demokratik Congo, dan Portugal dalam Kumpulan K.
Rodriguez, yang merupakan penjaring terbanyak Piala Dunia 2014 sebelum menyertai Real Madrid, kekal menjadi watak penting dalam skuad kebangsaan.
Ketua jurulatih, Nestor Lorenzo, sebelum ini menerima kritikan hebat kerana menyenaraikan Rodriguez sebagai kesebelasan utama ketika menentang Perancis dan dalam aksi persahabatan menentang Croatia, meskipun pemain itu kekurangan minit permainan yang kompetitif. -AFP