Itali gagal ke Piala Dunia, Gabriele Gravina sah berundur

Susulan kegagalan ke Piala Dunia 2026, Presiden FIGC, Gabriele Gravina umum peletakan jawatan./foto REUTERS

ROME, 3 April – Presiden Persekutuan Bola Sepak Itali (FIGC), Gabriele Gravina secara rasmi meletak jawatan susulan kegagalan memalukan pasukan kebangsaan itu melayakkan diri ke saingan Piala Dunia buat kali ketiga berturut-turut.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tewas 1-4 menerusi penentuan sepakan penalti kepada Bosnia-Herzegovina dalam aksi play-off di Zenica.
  • Kegagalan ini melengkapkan sejarah hitam selepas Itali turut kempunan berturut-turut pada edisi 2018 dan 2022.
  • Tekanan meluas termasuk media dan Menteri Sukan Andrea Abodi menuntut rombakan menyeluruh terhadap struktur bola sepak Itali.

Peletakan jawatan tersebut diumumkan dalam satu mesyuarat peringkat tinggi FIGC dengan Gravina turut menggesa agar pemilihan kepimpinan baharu dilaksanakan segera pada 22 Jun depan. Beliau telah menerajui badan induk berkenaan sejak 2018.

Mimpi buruk Azzurri bermula apabila tewas 1-4 menerusi penentuan sepakan penalti menentang Bosnia-Herzegovina dalam aksi play-off pada Selasa.

Keputusan itu menyaksikan juara dunia empat kali tersebut terlepas tiket ke Piala Dunia 2026 di Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada yang dijadualkan berlangsung bermula 11 Jun ini.

Kali terakhir Itali beraksi pada Piala Dunia ialah sewaktu edisi 2014 di Brazil, namun tersingkir awal di peringkat kumpulan.

Kegagalan kali ini melengkapkan sejarah hitam buat mereka selepas turut kempunan beraksi pada edisi 2018 dan 2022.

Dalam pada itu, masa depan ketua jurulatih, Gennaro Gattuso kini masih samar meskipun pemenang Piala Dunia 2006 itu sebelum ini menerima sokongan penuh daripada Gravina selepas perlawanan di Zenica.

Ketiadaan penaung utamanya di FIGC mencetuskan tanda tanya mengenai status jawatannya.

Terdahulu, tekanan hebat mendesak Gravina berundur datang daripada pelbagai pihak termasuk media tempatan dan Menteri Sukan, Andrea Abodi yang menuntut rombakan menyeluruh terhadap struktur bola sepak Itali. – BERNAMA