
KUALA LUMPUR, 25 Februari – Majlis Sukan Negara (MSN) menegaskan bahawa jurulatih wusyu tempatan yang berpengalaman luas menerima imbuhan kompetitif selaras dengan kepakaran dan sumbangan mereka kepada negara.
- SPJK 2024 memberi imbuhan kompetitif berdasarkan kelayakan, pengalaman dan prestasi jurulatih kebangsaan.
- Gaji asas dinaikkan 25 hingga 40 peratus bermula 1 Jan 2024 dan diselaraskan mengikut SPKK setiap jurulatih.
- Jurulatih layak elaun khas, kenaikan berkala dua tahun dan 20% ganjaran di bawah skim SGAR.
Kenyataan itu dikeluarkan MSN hari ini sebagai mengulas laporan media mengenai saranan Persekutuan Wushu Malaysia (PWM) supaya mempertimbangkan kenaikan gaji bagi jurulatih tempatan sekurang-kurangnya RM8,000 dan ke atas.
MSN memaklumkan di bawah Skim Pekerjaan Jurulatih Kebangsaan (SPJK) 2024, sembilan jurulatih tempatan yang juga bekas atlet kebangsaan kini menerima gaji melebihi RM8,000 sebulan.
“Penetapan kadar imbuhan tersebut dibuat berdasarkan beberapa kriteria utama termasuk kelayakan akademik, pengalaman, serta prestasi semasa sepanjang perkhidmatan sebagai jurulatih kebangsaan,” menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, MSN turut menyarankan agar Persatuan Sukan Kebangsaan (PSK) lebih proaktif sebagai menghargai jurulatih melalui pemberian imbuhan tambahan daripada pihak persatuan sendiri.
“Langkah tersebut telah pun dilaksanakan oleh persatuan seperti Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang menyediakan sokongan tambahan bagi memperkukuh kebajikan serta motivasi jurulatih mereka,” menurut MSN.
Lembaga Pengurusan MSN memaklumkan, pihaknya telah meluluskan penstrukturan semula SPJK yang melibatkan kenaikan kadar gaji asas antara 25 hingga 40 peratus bermula 1 Jan 2024.
Kenaikan tersebut adalah selaras dengan tahap Skim Persijilan Kejurulatihan Kebangsaan (SPKK) yang dimiliki oleh setiap jurulatih selain mengambil kira peranan strategik mereka dalam sistem sukan berprestasi tinggi.
“Selain gaji pokok, jurulatih tempatan turut menerima Elaun Khas Jurulatih dan layak dipertimbangkan untuk kenaikan gaji secara berkala setiap dua tahun berdasarkan penilaian prestasi,” menurut kenyataan itu.
Menurut MSN, jurulatih juga berhak menerima ganjaran di bawah Skim Ganjaran Jurulatih (SGAR) sebanyak 20 peratus daripada nilai kemenangan atlet di bawah Skim Hadiah Kemenangan Atlet Kebangsaan (SHAKAM) dan Skim Hadiah Kemenangan Atlet Remaja (SHAKAR). – BERNAMA