Hatrik Myong bantu Korea Utara menewaskan Uzbekistan 3-0

Skuad wanita Korea Utara meraikan kemenangan menewaskan Uzbekistan dalam aksi pembukaan Kumpulan B, Piala Asia Wanita 2026 di Stadium Western Sydney./REUTERS

PARRAMATTA, 3 Mac Pemain tengah Korea Utara, Myong Yu-jong menjaringkan hatrik untuk membantu pasukannya meraih kemenangan 3-0 menewaskan Uzbekistan dalam aksi pembukaan Kumpulan B, Piala Asia Wanita, hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Myong Yu-jong menjaringkan hatrik semua pada separuh masa pertama membantu Korea Utara menang 3-0.
  • Gol dibuat pada minit 6, 24 dan 41 termasuk dua penalti.
  • Kemenangan meletakkan Korea Utara dalam kedudukan kukuh untuk menguasai Kumpulan B.
  • Uzbekistan, kembali selepas 23 tahun, berdepan masalah kecederaan pemain simpanan yang melemahkan peluang mereka.

Dalam saingan yang berlangsung di Stadium Western Sydney menyaksikan Korea Utara tidak berdepan masalah untuk mendominasi permainan.

Kesemua tiga gol Myong Yu-jong hadir pada separuh masa pertama.

Gol awal dijaringkan pemain itu pada minit keenam sebelum memanfaatkan dua sepakan penalti pada minit ke-24 dan ke-41.

Kemenangan tersebut membolehkan skuad bola sepak wanita Korea Utara berada di landasan terbaik untuk mendominasi Kumpulan B.

Sementara itu, Uzbekistan yang membuat penampilan semula pada Piala Asia Wanita selepas 23 tahun dilihat bakal berdepan kesukaran dalam aksi Kumpulan B berikutan ada pemain sandaran mereka yang mengalami kecederaan.

Situasi tersebut mampu menyukarkan skuad wanita Uzbekistan bagi meneruskan kempen peringkat kumpulan menentang juara bertahan China dan Bangladesh. – REUTERS