
LONDON, 22 Januari – Chelsea terpaksa bekerja keras sebelum mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas wakil Cyprus, Pafos dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah awal pagi tadi di Stamford Bridge.
- Chelsea bekerja keras sebelum menang tipis 1-0 ke atas Pafos di Stamford Bridge.
- Moises Caicedo menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-78.
- Pertahanan Pafos menyukarkan serangan Chelsea sepanjang perlawanan.
- Kemenangan itu memberi Chelsea 13 mata dan peluang kukuh mara ke pusingan kalah mati.
Gol tunggal lewat permainan memastikan tiga mata penuh milik The Blues.
Beraksi sebagai tuan rumah, Chelsea menguasai sebahagian besar permainan sejak wisel permulaan, namun disiplin tinggi pertahanan Pafos menyukarkan pasukan tuan rumah untuk memecah kebuntuan.
Beberapa percubaan berbahaya berjaya dicipta, namun gagal disudahkan dengan baik pada separuh masa pertama.
Memasuki babak kedua, skuad kendalian Liam Rosenior terus meningkatkan tempo permainan dengan tekanan berterusan di kawasan lawan.
Usaha itu akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-78, apabila pemain tengah, Moises Caicedo, meledak gol pendahuluan pasukan.
Pafos cuba bangkit pada minit-minit akhir perlawanan, namun kekebalan benteng pertahanan Chelsea memastikan keputusan kekal sehingga tamat perlawanan.
Kemenangan ini membolehkan Chelsea mengutip tiga mata penting untuk berada dalam kelompok lapan teratas kumpulan dengan 13 mata, sekali gus mengukuhkan peluang mereka untuk mara ke pusingan kalah mati, manakala Pafos kekal di kelompok bawahan. -AFP