
WASHINGTON, 20 Februari- Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) akan menerajui dana AS$75 juta bagi membina semula kemudahan bola sepak di Gaza yang musnah akibat serangan Israel.
- FIFA akan menerajui usaha mengumpul dana untuk membina semula kemudahan bola sepak di Gaza.
- Pelan pembangunan termasuk akademi bola sepak, stadium kebangsaan 20,000 tempat duduk dan padang bola sepak.
- Inisiatif digambarkan sebagai perkongsian penting untuk menyokong pemulihan pascakonflik di Gaza.
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengumumkan perkara itu pada mesyuarat pertama “Board of Peace” di Washington pada Khamis.
“Saya berbesar hati mengumumkan FIFA akan membantu mengumpul sejumlah AS$75 juta untuk projek di Gaza,” katanya.
Presiden FIFA, Gianni Infantino memaklumkan pelan pembangunan meliputi pembinaan akademi bola sepak, stadium nasional berkapasiti 20,000 tempat duduk dan padang bola sepak.
Beliau menyifatkan inisiatif itu sebagai “perjanjian perkongsian penting” bagi menyokong pemulihan kawasan pascakonflik.
Kenyataan FIFA pada hari sama bagaimanapun tidak menyebut jumlah AS$75 juta seperti diumumkan Trump, sebaliknya memaklumkan dana akan dikumpul daripada pemimpin dan institusi antarabangsa.
“Board of Peace” diadakan selepas pentadbiran Trump bersama Qatar dan Mesir berunding gencatan senjata pada Oktober lalu bagi menghentikan peperangan selama dua tahun di Gaza. -AFP