
KUALA LUMPUR, 5 Mei – Terengganu Hockey Team (THT) mempamerkan taring sebenar apabila berpesta gol membelasah Liaoning Men’s Hockey (LMHT) Team 6-0 dalam aksi Liga Hoki Malaysia (MHL)-TNB 2026 yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional 2, Bukit Jalil.
- Faizal Saari meledak empat gol, kebanyakan hasil daripada pukulan sudut penalti.
- Jurulatih puji disiplin taktikal dan corak serangan THT, dengan kadar penukaran pukulan sudut penalti sekitar 70 peratus.
- THT terjejas apabila Faizal dilayangkan kad merah, menyebabkan ketiadaannya untuk perlawanan menentang UiTM HA-KPT.
Ketua jurulatih THT, Mohd Harfizi Bahrom, menyifatkan persembahan anak buahnya antara yang terbaik musim ini, hasil disiplin tinggi dalam menterjemahkan perancangan taktikal di atas padang.
Beliau turut memuji ketajaman jentera serangan yang berjaya menyempurnakan peluang dengan lebih klinikal.
“Alhamdulillah, secara keseluruhan saya berpuas hati dengan corak serangan yang dipamerkan dalam dua perlawanan terdahulu menentang Territory dan Lightning. Barisan penggempur kini telah menemui sentuhan penyudah, manakala kadar penukaran gol menerusi pukulan sudut penalti juga menunjukkan peningkatan positif, iaitu sekitar 70 peratus,” katanya.
THT memulakan langkah kanan seawal minit ke-5 menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan oleh Faizal Saari.
Penyerang berbisa itu terus menjadi igauan ngeri pasukan Liaoning Men’s Hockey Team apabila menggandakan jaringan pada minit ke-25, sekali lagi menerusi pukulan sudut penalti.
Momentum cemerlang skuad Pantai Timur itu diteruskan pada minit ke-35 menerusi gol padang Keenan Craig Horne yang bijak menyambar bola muntah hasil percubaan rakan sepasukan.
Faizal kemudian melengkapkan hatrik pada minit ke-41, sebelum Mughni Mohamad Kamal turut mencatat nama sebagai penjaring seminit kemudian menerusi jaringan padang pada minit ke-42.
Kemenangan bergaya THT dimuktamadkan dengan gol keenam pada minit ke-55, sekali lagi hasil penyudah pukulan sudut penalti oleh Faizal yang melengkapkan gol keempat peribadinya.
Bagaimanapun, kemenangan itu sedikit tercalar apabila THT terpaksa menerima tamparan selepas kehilangan khidmat tonggak utamanya, Faizal Saari bagi perlawanan menentang UiTM HA-KPT akibat dilayangkan kad merah di penghujung babak permainan.