Empat pemanah lelaki negara sertai program ASIAKOM

Gambar arkib BERNAMA

KUALA LUMPUR, 25 Februari – Empat atlet memanah lekaki negara disenarai untuk menyertai program elit ASIAKOM bagi mempersiapkan skuad memanah negara dalam acara compound menjelang Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 serta Sukan SEA Malaysia 2027.

RINGKASAN BERITA AI
  • Empat atlet lelaki disenarai untuk program elit ASIAKOM bagi persiapan acara compound menjelang Sukan Asia 2026 dan SEA 2027.
  • Atlet terpilih ialah Mohd Juwaidi, Alang Ariff Aqil, Muhammad Syafiq dan Aiman Syafiq.
  • Projek ASIAKOM adalah pelan strategik jangka panjang untuk mempersiapkan atlet ke Olimpik LA2028.
  • Atlet menerima peningkatan elaun dan keutamaan penyertaan kejohanan untuk pendedahan kompetitif berterusan.

Sukan Asia 2026 dijadual berlangsung dari 19 Sept hingga 4 Okt ini.

Presiden Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM) Abdul Hamid Hasan berkata empat atlet berkenaan ialah Mohd Juwaidi Mazuki, Alang Ariff Aqil Muhammad Ghazalli, Muhammad Syafiq Busthamim dan Aiman Syafiq Tariki.

Beliau berkata projek berkenaan merupakan pelan strategik jangka masa panjang untuk mempersiapkan atlet menghadapi Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA2028).

“Projek ASIAKOM pada asalnya disasarkan untuk Sukan Asia, namun kita merancang agar ia bergerak seiring hingga ke Olimpik. Acara compound dijangka dipertandingkan dalam kategori berpasukan campuran di LA2028,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kerja (JKK) 2026 di Majlis Sukan Negara di sini hari ini.

Abdul Hamid berkata pemilihan empat atlet berdasarkan prestasi semasa serta potensi peningkatan ranking dunia dan mereka juga akan menerima peningkatan elaun dan diberi keutamaan menyertai kejohanan dalam dan luar negara sebagai sebahagian daripada pendedahan kompetitif berterusan.

Dalam pada itu, beliau berkata pemilihan atlet wanita untuk digandingkan dalam acara berpasukan campuran akan dibuat selepas Sukan Asia 2026 atau Sukan SEA 2027 bagi memastikan kombinasi terbaik dapat dibentuk menjelang LA2028. – BERNAMA