Drag EV: GGR Motor fokus gilap bakat baharu

Pelumba GGR, Muhammad Fathi bersama jentera EV yang dihasilkan oleh GGR Motor.

KUALA LUMPUR, 19 Januari – Pasukan GGR Motor kini memberi tumpuan sepenuhnya kepada pembangunan bakat baharu sebagai persediaan jangka panjang dalam arena drag motosikal elektrik (EV) di peringkat Asia.

RINGKASAN BERITA AI
  • GGR Motor fokus pembangunan bakat baharu untuk persediaan jangka panjang dalam drag motosikal elektrik di peringkat Asia.
  • Kejayaan di Kejohanan NGO Asean Super Fast 2025 beri data penting untuk penambahbaikan teknikal dan penilaian prestasi pelumba.
  • Pasukan akan uji jentera dan perkembangan pelumba di perlumbaan 25 Januari di Avenue Track, Bangkok.

Langkah itu susulan kejayaan pasukan GGR Motor dalam Kejohanan NGO Asean Super Fast 2025 yang berlangsung di Buriram United Dragster Track, Thailand, dari 9 hingga 11 Januari lalu.

Pelumba GGR Motor, Muhammad Fathi Mohamed Azmi dalam satu kenyataan memaklumkan, pasukan berkenaan kini melalui fasa peralihan dengan memberi fokus kepada pembangunan bakat baharu.

Pada kejohanan berkenaan, GGR Motor berjaya menamatkan saingan dalam kelompok podium bagi kategori EV body standard dan body open, sekali gus memperoleh data penting untuk penambahbaikan teknikal serta penilaian prestasi pelumba.

“Kejohanan tersebut menjadi medan ujian keupayaan jentera serta kemampuan pasukan menyesuaikan diri dengan keadaan trek berbeza”, jelasnya menerusi kenyataan.

GGR Motor dijadual kembali beraksi pada 25 Januari depan di Avenue Track, Bangkok, yang akan dijadikan platform bagi menguji tahap persiapan jentera serta perkembangan pelumba dalam suasana perlumbaan kompetitif.