Djokovic tarik diri Terbuka Miami akibat kecederaan bahu

Pemain Serbia, Novak Djokovic meraikan kemenangan ketika menentang Jack Draper dari Britain dalam perlawanan pusingan keempat kejohanan BNP Paribas Open di Indian Wells Tennis Garden, Indian Wells, California pada 11 Mac 2026/ Foto AFP

MIAMI, 16 Mac – Juara Grand Slam 24 kali, Novak Djokovic menarik diri daripada kejohanan Miami Open akibat kecederaan bahu kanan, menurut penganjur kejohanan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mara ke pusingan keempat Indian Wells, namun memilih tidak menyertai kejohanan kedua siri Sunshine Double.
  • Juara enam kali di Miami; tewas kepada pemain Czech muda Jakub Mensik pada final tahun lalu.
  • Indian Wells jadi penampilan pertama sejak tewas kepada Carlos Alcaraz di final Australian Open Januari lalu.
  • Di Indian Wells beliau memakai lilitan lengan kanan dan mengakui kecederaan lengan bawah menjejaskan servisnya.

Pemain berusia 38 tahun itu sebelum ini mara ke pusingan keempat kejohanan Indian Wells Open minggu ini, namun memilih untuk tidak menyertai kejohanan kedua dalam siri “Sunshine Double”.

Djokovic yang juga juara enam kali di Miami sebelum ini tewas kepada pemain muda Czech, Jakub Mensik pada final edisi tahun lalu.

Kejohanan di Indian Wells turut menjadi penampilan pertama Djokovic sejak tewas kepada Carlos Alcaraz pada final Australian Open, Januari lalu.

Sepanjang saingan di Indian Wells, bekas pemain nombor satu dunia itu dilihat memakai lilitan lengan pada tangan kanan dan mengakui berdepan masalah kecederaan pada bahagian lengan bawah yang menjejaskan servisnya.

“Jika saya tidak melakukan servis selama lima atau enam minit, dua atau tiga servis pertama selepas itu akan terasa sedikit sakit,” katanya kepada Tennis Channel.- AFP