
ROTTERDAM, 16 Februari – Pemain Australia, Alex de Minaur, menewaskan pilihan utama, Felix Auger-Aliassime, 6-3, 6-2 untuk muncul juara kejohanan Terbuka Rotterdam, sekali gus meraih gelaran sulung dalam kejohanan gelanggang tertutup Jelajah ATP, pada Ahad.
- Alex de Minaur menewaskan Felix Auger-Aliassime 6-3, 6-2 untuk muncul juara Terbuka Rotterdam.
- De Minaur raih gelaran sulung kejohanan gelanggang tertutup Jelajah ATP dan gelaran ke-11 kariernya.
- Aksi konsisten, termasuk break penting dan servis ace, menamatkan rentetan lapan kemenangan Auger-Aliassime.
Kemenangan dalam tempoh 78 minit itu turut menamatkan rentetan lapan kemenangan berturut-turut pemain Kanada berkenaan.
De Minaur yang tewas di pentas akhir kejohanan sama dalam dua edisi terdahulu, akhirnya berjaya menjulang trofi untuk meraih gelaran ke-11 sepanjang kariernya di Jelajah ATP.
“Percubaan ketiga membawa tuah. Saya sangat teruja dan gembira. Sebelum ini saya hanya selangkah lagi, jadi memang terasa istimewa dapat menjulang trofi kali ini,” katanya.
Pemain ranking kelapan dunia itu mempamerkan aksi konsisten apabila melakukan pukulan balas backhand yang tepat berhampiran garisan belakang gelanggang, sekali gus menyukarkan Auger-Aliassime.
De Minaur melakukan ‘break’ penting untuk mendahului 4-2 sebelum mengesahkan kemenangan set pertama.
Auger-Aliassime kini berada di ranking keenam dunia, melakukan 12 kesilapan tidak dipaksa dalam set kedua.
Kesempatan itu dimanfaatkan sepenuhnya oleh De Minaur yang melakukan dua lagi ‘break’ sebelum menamatkan perlawanan menerusi servis ace sempurna.-REUTERS