Datuk Ab Ghani enggan ulas spekulasi calon Presiden FAM

Presiden MFL, Datuk Ab Ghani Hassan tolak khabar angin pencalonan jawatan Presiden FAM./BERNAMA

KUALA LUMPUR, 10 Mac – Presiden Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan, enggan mengulas khabar angin yang mengaitkan namanya sebagai antara calon berpotensi untuk jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

RINGKASAN BERITA AI
  • Ab Ghani menegaskan isu pencalonan tidak wajar dibincangkan; beliau menumpukan perhatian kepada tanggungjawab bersama Liga-M.
  • Spekulasi mengaitkan beberapa figura korporat, termasuk Tan Sri Tony Fernandes dan Datuk Ruben Emir Gnanalingam.
  • Hanya Datuk Seri Megat D Shahriman nyatakan minat; statut FAM mensyaratkan sekurang-kurangnya enam pencalonan daripada 18 ahli.

Beliau menegaskan isu tersebut tidak wajar diperkatakan pada ketika ini dan memilih menumpukan perhatian kepada tanggungjawabnya bersama badan pengelola Liga Malaysia (Liga-M).

“Saya tak tahu mengenai perkara itu… tak payah cakap (pencalonan Presiden FAM)… saya masih lagi Presiden MFL,” katanya ringkas ketika ditemui pemberita pada majlis berbuka puasa anjuran MFL di sini, semalam.

Spekulasi sebelum ini mengaitkan Datuk Ab Ghani sebagai salah seorang individu berpotensi bertanding bagi jawatan Presiden FAM pada kongres pemilihan akan datang.

Beberapa nama lain turut dikaitkan media tempatan, termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Capital A Bhd, Tan Sri Tony Fernandes, dan tokoh korporat, Datuk Ruben Emir Gnanalingam Abdullah.

Setakat ini, hanya Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin, menyatakan minat untuk menerajui FAM.

Menurut statut FAM, calon presiden perlu memperoleh sekurang-kurangnya enam pencalonan daripada 18 ahli gabungan untuk layak bertanding.