Cirstea kejutkan Sabalenka di Terbuka Itali

Sorana Cirstea mencipta kejutan di Kejohanan Tenis Terbuka Itali 2026. – Foto AFP

ROM, 10 Mei – Sorana Cirstea mencuri tumpuan di Kejohanan Tenis Terbuka Itali 2026 apabila melakar kemenangan sensasi ke atas pemain nombor satu dunia, Aryna Sabalenka dalam aksi pusingan ketiga.

RINGKASAN BERITA AI
  • Cirstea bangkit selepas tewas set pertama untuk menewaskan Sabalenka 2-6, 6-3, 7-5.
  • Kemenangan itu merupakan kali pertama Cirstea menewaskan pemain ranking nombor satu dunia dalam kariernya.
  • Sabalenka dipercayai mengalami kecederaan, menerima rawatan perubatan dan melakukan beberapa kesilapan menentukan di set ketiga.

Pemain Romania berusia 36 tahun itu bangkit daripada kekalahan set pertama sebelum menewaskan pilihan utama tersebut 2-6, 6-3 dan 7-5.

Kejayaan itu turut menjadi kemenangan pertama Cirstea ke atas pemain ranking nombor satu dunia sepanjang karier profesionalnya.

Sabalenka mempamerkan aksi meyakinkan pada awal permainan, namun momentum pemain Belarus itu mula merosot ketika set penentuan apabila dipercayai mengalami masalah kecederaan.

Beliau turut mendapatkan rawatan perubatan ketika Cirstea mendahului 4-3 dalam set ketiga.

Aryna Sabalenka tewas 2-6, 6-3, 7-5 kepada Sorana Cirstea – Foto AFP

Cirstea kemudian mendahului 5-3 dan berpeluang menamatkan perlawanan, namun Sabalenka bangkit menyamakan kedudukan 5-5.

Bagaimanapun, beberapa kesilapan pukulan daripada Sabalenka membuka ruang buat pemain Romania itu mematahkan servis lawan sebelum memastikan kemenangan dramatik.

Dalam perkembangan lain, juara bertahan dari Itali, Jasmine Paolini turut menerima nasib sama apabila tersingkir di tangan pemain Belgium, Elise Mertens.

Paolini yang juga pilihan kesembilan tewas 4-6, 7-6(5), 6-3 di hadapan penyokong sendiri.

Sementara itu, pemain Amerika Syarikat, Coco Gauff mara ke pusingan 16 terbaik selepas menundukkan Solana Sierra dari Argentina 7-5, 6-0, 6-4.

Gauff yang merupakan pilihan ketiga kejohanan akan bertemu pemenang antara Taylor Townsend dan Iva Jovic bagi perebutan tempat ke suku akhir. – Reuters