Bekas pemain EPL direman, didakwa serang lelaki berhampiran kelab golf

Bekas pemain Liga Perdana Inggeris (EPL), Joey Barton / AFP

LONDON, 11 Mac – Bekas pemain Liga Perdana Inggeris (EPL), Joey Barton, direman selepas dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan melakukan serangan berhampiran sebuah kelab golf di barat laut England.

RINGKASAN BERITA AI
  • Dituduh bersama Gary O’Grady menyebabkan kecederaan parah kepada Kevin Lynch berhampiran Huyton, berdekatan Huyton and Prescot Golf Club.
  • Mangsa kini dalam keadaan serius tetapi stabil dan sedang menerima rawatan di hospital.
  • Kes dipindahkan ke mahkamah Liverpool; prosiding pengakuan ditetapkan 7 April; Barton direman, O'Grady dibebaskan dengan syarat ikat jamin.

Barton, 43, yang pernah beraksi sebagai pemain tengah Manchester City dan Newcastle United, didakwa menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang lelaki bersama seorang lagi tertuduh, Gary O’Grady, 50.

Kedua-dua mereka hadir di kandang tertuduh di Mahkamah Majistret Liverpool pada Selasa bagi mengesahkan nama, alamat serta tarikh lahir masing-masing.

Mahkamah kemudian memutuskan kes tersebut dipindahkan ke mahkamah di Liverpool, dengan kedua-dua tertuduh dijadual hadir bagi prosiding pengakuan pada 7 April.

Hakim Daerah James Hatton memerintahkan Barton direman sehingga tarikh tersebut, manakala O’Grady dibenarkan ikat jamin dengan syarat tertentu.

Mereka didakwa menyerang seorang lelaki dikenali sebagai Kevin Lynch di kawasan Huyton, berhampiran Liverpool, pada Ahad lalu.

Mangsa dilaporkan mengalami kecederaan serius pada muka dan badan berhampiran Huyton and Prescot Golf Club.

Polis Merseyside memaklumkan mangsa kini berada dalam keadaan serius tetapi stabil dan sedang menerima rawatan di hospital.

Difahamkan kedua-dua tertuduh serta mangsa turut tersenarai sebagai ahli kelab golf berkenaan.

Terdahulu pada Selasa, Mahkamah Tinggi turut mengarahkan Barton membayar ganti rugi serta kos guaman yang besar dalam kes fitnah yang difailkan bekas penyerang England yang kini menjadi pengulas televisyen, Eni Aluko.

Menurut peguam Aluko, Gervase de Wilde, Barton didakwa melancarkan kempen serangan secara terbuka terhadap anak guamnya menerusi 48 hantaran di media sosial antara Januari hingga Ogos 2024.

Selain Manchester City dan Newcastle, Barton juga pernah beraksi bersama Queens Park Rangers (QPR), Rangers, Burnley dan Marseille sebelum bersara pada 2017 serta menceburi bidang kejurulatihan dan kini mengendalikan sebuah audio siar.- AFP