
BARCELONA, 24 Januari – Pasukan Alpine mendedahkan jentera baharu mereka, A526 bagi menghadapi musim Formula Satu (F1) 2026 dalam satu majlis khas di atas kapal persiaran mewah MSC World Europa di Barcelona, pada Jumaat.
- Alpine memperkenalkan jentera A526 baharu pada majlis pelancaran di Barcelona.
- Reka bentuk A526 mengikut peraturan F1 2026 dengan fokus kenderaan lebih ringan dan aerodinamik baharu.
- Ujian pra-musim tertutup di Barcelona dijadualkan 26–30 Januari, diikuti dua sesi ujian di Bahrain.
Kereta baharu itu dibangunkan selaras dengan peraturan teknikal dan sukan F1 yang dikemas kini yang menekankan penggunaan jentera lebih ringan, konsep aerodinamik baharu serta generasi unit kuasa terkini.
Kebanyakan jentera pasukan dijangka turun ke litar bersama buat kali pertama dalam sesi ujian pra-musim tertutup di Barcelona dari 26 hingga 30 Januari.
Dua lagi sesi ujian tradisional turut dijadualkan berlangsung di Bahrain pada 11 hingga 13 Februari dan 18 hingga 20 Februari.
Musim F1 2026 akan membuka tirainya dengan perlumbaan pertama di Melbourne pada 8 Mac depan. -REUTERS