Ahmad Zikri sasar pentas dunia selepas ungguli kejohanan kebangsaan

Ahmad Zikri Mohd Nor Arif ketika acara penyampaian hadiah Kejohanan Kanu Remaja Kebangsaan 2026  / Foto RTM

PUTRAJAYA, 2 Ogos – Pemenang pingat gangsa Sukan SEA 2025, Ahmad Zikri Mohd Nor Arif, mengungguli kategori lelaki bawah 18 tahun pada Kejohanan Kanu Remaja Kebangsaan 2026 selepas meraih enam pingat emas dan satu pingat perak di Kompleks Sukan Air, di sini, hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Zikri mengalihkan tumpuan kepada pentas antarabangsa, mensasarkan Kejohanan Dunia Remaja dan Bawah 23 ICF Kanu Slalom 2027 di Pattaya, Thailand.
  • Persatuan Kanu Malaysia (MASCA) berusaha mendapatkan peruntukan bagi membolehkan latihan luar negara akibat kekurangan kemudahan 'white water' di Malaysia.
  • Zikri menghargai sokongan keluarga, rakan, jurulatih dan kelab sebagai faktor utama kejayaannya.
  • Kejohanan Kanu Remaja Kebangsaan 2026 julung kali dianjurkan, menghimpunkan 350 peserta daripada lapan pasukan dalam 28 acara.

Kejayaan itu mengukuhkan status atlet muda negara itu yang kini mengalihkan tumpuan untuk bersaing di pentas antarabangsa, khususnya dalam acara kanu slalom.

Kini sasaran terdekatnya adalah Kejohanan Dunia Remaja dan Bawah 23 Persekutuan Kanu Antarabangsa (ICF) bagi acara Kanu Slalom 2027 yang dijadual berlangsung di Pattaya, Thailand, dari 9 hingga 14 November 2027.

“Persatuan Kanu Malaysia (MASCA) juga sedang berusaha mendapatkan peruntukan bagi membolehkan atlet menjalani latihan di luar negara berikutan Malaysia masih belum mempunyai kemudahan ‘white water’ yang mencukupi untuk latihan acara kanu slalom,” katanya kepada RTM.

Zikri yang mewakili pasukan Kanu Putra berkata, kejayaan yang diraih adalah hasil sokongan berterusan daripada pelbagai pihak sepanjang tempoh latihan dan pertandingan.

“Alhamdulillah, saya bersyukur dapat muncul juara keseluruhan kategori lelaki bawah 18 tahun. Saya berjaya meraih enam pingat emas dan satu pingat perak.

“Kejayaan ini hasil sokongan semua pihak, termasuk keluarga, kawan-kawan, jurulatih dan kelab saya,” katanya.

Kejohanan Kanu Remaja Kebangsaan 2026 yang dianjurkan buat julung kalinya berlangsung dari 31 Julai hingga hari ini, menghimpunkan 350 peserta daripada lapan pasukan yang bertanding dalam 28 acara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.