
KUALA LUMPUR, 17 Mac – Skuad Harimau Malaya menerima tamparan hebat apabila diisytiharkan kalah 3-0 dalam dua perlawanan Kelayakan Piala Asia 2027.
- Skuad Harimau Malaya diisytihar kalah 3-0 bagi dua perlawanan Kelayakan Piala Asia 2027.
- Jawatankuasa Tatatertib & Etika AFC mendapati FAM melanggar Artikel 56 kerana menurunkan pemain tidak layak.
- Kesalahan melibatkan perlawanan menentang Nepal (25 Mac 2025) dan Vietnam (10 Jun 2025) yang dibatalkan.
- FAM dikenakan denda AS$50,000 (RM196,119) akibat pelanggaran tersebut.
Ini selepas Jawatankuasa Tatatertib & Etika Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) yang bersidang pada Selasa mendapati Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) melanggar Artikel 56 Kod Tatatertib & Etika AFC kerana menurunkan pemain tidak layak.
Kesalahan itu melibatkan dua perlawanan iaitu menentang Nepal di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada 25 Mac 2025 dan Vietnam di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 10 Jun 2025.
Kedua-dua perlawanan yang sebelum ini dimenangi Malaysia dibatalkan dan digantikan dengan kekalahan 3-0 bagi setiap aksi mengikut Artikel 25.1 Kod tersebut.
Selain itu, FAM turut dikenakan denda sebanyak AS$50,000 (RM196,119) susulan pelanggaran berkenaan.
FAM memaklumkan akan mengemukakan permohonan bertulis bagi mendapatkan alasan penuh keputusan sebelum mempertimbangkan tindakan lanjut.