
PARLIMEN, 2 November – Sebanyak 225 daripada 722 permohonan kewarganegaraan di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan yang diterima di Sarawak bagi tempoh 2024 hingga September 2026 telah diluluskan.
- Kes belum diputuskan akan dibawa untuk pertimbangan dalam mesyuarat JKKSK Peringkat Sarawak tahun ini.
- Keputusan muktamad kewarganegaraan kekal di bawah bidang kuasa kementerian menurut Perlembagaan dan undang-undang berkuat kuasa.
- JKKSK memastikan pengurusan permohonan lebih inklusif, mempercepat verifikasi dan mengurangkan isu kewarganegaraan dalam kalangan kanak-kanak di Sarawak.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, daripada jumlah keseluruhan itu, 81 permohonan ditolak manakala 416 lagi masih dalam proses.
“Kes yang masih belum diputuskan akan dibawa untuk pertimbangan dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas Status Kewarganegaraan (JKKSK) Peringkat Sarawak tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Betong, Datuk Dr Richard Rapu, pada sesi pertanyaan jawab lisan di Dewan Rakyat, di sini.
Datuk Dr Richard Rapu mengemukakan pertanyaan mengenai keberkesanan JKKSK mempercepat verifikasi kes anak tanpa dokumen untuk tempoh 2024 hingga 2026, serta jumlah permohonan disyorkan yang mendapat kelulusan muktamad KDN.
Mengulas lanjut, Datuk Seri Dr Shamsul berkata, keputusan muktamad bagi setiap permohonan kekal di bawah bidang kuasa kementeriannya berdasarkan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang berkuat kuasa.
Manakala JKKSK berperanan memastikan pengurusan permohonan lebih inklusif dan adil, selain membantu mempercepat proses verifikasi serta mengurangkan isu kewarganegaraan dalam kalangan kanak-kanak di Sarawak.
Dalam pada itu, akses kepada pendidikan formal dan perkhidmatan kesihatan awam bagi kanak-kanak terlibat tertakluk kepada syarat serta prosedur kementerian dan agensi berkaitan.
Bagi aspek kebajikan dan perlindungan sosial, kanak-kanak yang memerlukan bantuan boleh dirujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk penilaian berdasarkan keperluan dan kelayakan masing-masing.