Labuan sasar tambah koleksi pingat MSSM 2027

Foto RTM

LABUAN, 26 Oktober – Kejayaan meraih satu pingat emas dan satu gangsa pada Kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) tahun ini menjadi asas kepada Labuan untuk menyusun strategi lebih berkesan bagi menambah koleksi pingat pada edisi 2027.

RINGKASAN BERITA AI
  • Labuan merangka strategi lebih berkesan untuk menambah koleksi pingat pada MSSM 2027
  • Sukan akuatik dan boling padang akan terus diberi perhatian sebagai bidang utama yang diperkukuh
  • Majlis interaksi bertujuan memperkukuh kerjasama antara Jabatan Pendidikan dan persatuan sukan bagi pembangunan atlet murid

Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Negeri Wilayah Persekutuan Labuan (JPNWPL), Yahya Ahmad Puteh berkata, pencapaian itu memberi petanda positif bahawa atlet dalam kalangan murid di pulau berkenaan mempunyai potensi untuk melakar kejayaan lebih besar.

“Ini merupakan satu sejarah untuk Labuan kerana sebelum ini kita belum pernah mendapat pingat emas.

“Sekurang-kurangnya ia memberi satu isyarat kepada kita bahawa Labuan perlu memikirkan strategi terbaik untuk memastikan pada MSSM 2027 kita berupaya menambah koleksi pingat,” katanya.

Beliau ditemui pada Majlis Interaksi Pembangunan Sukan bersama Pengerusi Teknik Pembangunan Sukan dan persatuan-persatuan sukan di Labuan, di sini.

Menurutnya, sukan akuatik antara bidang yang akan terus diberi perhatian berdasarkan pencapaian memberangsangkan, selain boling padang yang diharap dapat diperkukuh sebagai antara sukan teras.

Mengenai majlis interaksi berkenaan, beliau berkata, program anjuran Jabatan Pendidikan Labuan itu bertujuan memperkukuh kerjasama antara pihak berkaitan serta merangka pendekatan lebih berkesan dalam pembangunan atlet murid.

Tambajhnya, kerjasama berterusan antara jabatan pendidikan dan persatuan sukan penting bagi meningkatkan prestasi atlet serta mengangkat pencapaian Labuan ke peringkat lebih tinggi.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.