Calon PRN Melaka dinasihatkan berkempen guna AI secara berhemah


Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching menyampaikan sumbangan Deepavali 2026 di Kulai Besar hari ini/Foto RTM Johor

KULAI, 24 Oktober – Semua calon dan parti politik yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dinasihati berkempen menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) secara bertanggungjawab.

RINGKASAN BERITA AI
  • Calon dan parti dinasihatkan berkempen menggunakan teknologi AI secara bertanggungjawab.
  • Elakkan penyebaran kandungan yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat.
  • Netizen perlu bijak, celik teknologi dan membuat semakan fakta sebelum berkongsi.
  • Jangan mainkan isu sensitif agama, kaum dan institusi diraja; MCMC menjalankan audit mutu internet.

Langkah itu penting bagi mengelakkan penyebaran kandungan yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, penggunaan AI yang semakin meluas ketika ini perlu disertai sikap berhemah serta kesedaran pengguna terhadap kesahihan maklumat.

Beliau berkata, orang ramai perlu bijak menggunakan teknologi berkenaan dan melakukan semakan fakta sebelum berkongsi sesuatu kandungan.

“Apabila kita menggunakan teknologi seperti ini, sangat penting untuk menjadi netizen yang bijak dan celik teknologi. Jangan gunakan kemahiran kita untuk memburukkan keharmonian masyarakat.

“Kedua, sebagai netizen, sangat penting untuk membuat semakan fakta,” katanya ketika ditemui pada Program Penyampaian Sumbangan Deepavali 2026 di Kulai Besar, di sini hari ini.

Beliau turut mengingatkan semua pihak yang terlibat dalam PRN Melaka dan Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang supaya tidak memainkan isu sensitif membabitkan agama, kaum dan institusi diraja (3R).

Mengenai liputan internet sepanjang PRN Melaka dan di Sarawak, Teo berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sentiasa menjalankan audit di lapangan bagi memastikan mutu perkhidmatan internet berada pada tahap memuaskan.

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.