
KUALA LUMPUR, 23 Oktober – NGC Energy (Malaysia) Sdn Bhd menyasarkan peningkatan bahagian pasaran gas petroleum cecair (LPG) di Malaysia menerusi pengukuhan kerjasama strategik dengan dua pemegang sahamnya.
- Kerjasama strategik memperkukuh sokongan logistik, infrastruktur dan akses pasaran bagi NGC Energy.
- Langkah membuka peluang pertumbuhan baharu dan menguatkan kedudukan sebagai pemain LPG kedua terbesar di Malaysia.
- Utamakan jaminan bekalan LPG negara terutamanya menghadapi ketidaktentuan geopolitik sambil menumpu pasaran domestik Mira Gas.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Julianna Kamaruddin berkata, kerjasama dengan National Gas Company Oman dan Perangsang Oil and Gas Sdn Bhd itu dijangka memperkukuh keupayaan syarikat dari segi logistik, infrastruktur serta akses pasaran.
Langkah berkenaan turut membuka peluang pertumbuhan baharu, sekali gus memperkukuh kedudukan syarikatnya sebagai pembekal LPG dalam negara.
“Jadi, antara perkara yang kami harapkan ialah kekuatan rakan kongsi yang dimiliki, khususnya dari segi sokongan logistik, infrastruktur serta akses pasaran.
“Saya percaya kerjasama baharu ini membuka peluang kepada kami untuk terus mengukuhkan kedudukan sebagai pemain LPG kedua terbesar di Malaysia,” katanya selepas Majlis Pengukuhan Kerjasama Strategik NGC Energy disini.
Tambah Julianna, syarikat itu turut meneliti peluang memperluas pasaran menerusi kerjasama strategik dengan pemegang sahamnya, terutama dalam memperkukuh keupayaan infrastruktur dan rangkaian pengedaran LPG.
Pada masa sama, NGC Energy akan terus memberi keutamaan kepada jaminan bekalan LPG negara, khususnya dalam menghadapi ketidaktentuan geopolitik di Asia Barat.
Ketika ini, kira-kira 80 peratus daripada perniagaan syarikat ini tertumpu kepada segmen domestik menerusi jenama Mira Gas, selain turut membekalkan LPG kepada sektor komersial dan perindustrian.