RM2.85 bilion dadah, racun dirampas dalam tempoh sembilan bulan

Logo PDRM / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 21 Oktober – Nilai rampasan dadah dan racun oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) meningkat 43.63 peratus kepada RM2.85 bilion bagi tempoh Januari hingga September tahun ini, berbanding RM1.98 bilion dalam tempoh sama tahun lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • 167,601 kes direkodkan dengan 186,257 tangkapan di seluruh negara.
  • Selangor 23,195 kes 26,368 tangkapan; Kedah 18,843 kes 19,601 tangkapan; Kelantan 18,008 kes 19,712 tangkapan.
  • Rampasan termasuk 36,612.72 kg dadah, 30,580.19 liter cecair, serta 45,382.70 kg dan 106,092.56 liter bahan di bawah Akta Racun.
  • Penguatkuasaan diperkuat dengan pendekatan proaktif, kerjasama agensi tempatan dan antarabangsa, fokus putus rantaian sindiket; orang ramai diminta salurkan maklumat.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, peningkatan RM865.45 juta itu menunjukkan penguatkuasaan terus dipergiat dalam membanteras pengedaran dadah serta penyalahgunaan bahan terkawal.

Sepanjang tempoh berkenaan, sebanyak 167,601 kes direkodkan dengan 186,257 tangkapan dibuat di seluruh negara.

“Selangor mencatatkan jumlah kes tertinggi, iaitu 23,195 kes dengan 26,368 tangkapan, diikuti Kedah dengan 18,843 kes dan 19,601 tangkapan serta Kelantan dengan 18,008 kes dan 19,712 tangkapan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Datuk Hussein lagi, JSJN turut merampas 36,612.72 kilogram dadah dan 30,580.19 liter dadah dalam bentuk cecair.

Selain itu, sebanyak 45,382.70 kilogram serta 106,092.56 liter bahan yang tertakluk di bawah Akta Racun turut dirampas.

Beliau berkata, strategi penguatkuasaan akan terus diperkukuh melalui pendekatan lebih proaktif serta kerjasama dengan agensi tempatan dan antarabangsa.

Tumpuan akan diberikan kepada usaha memutuskan rantaian bekalan dadah yang dikendalikan sindiket terancang.

“JSJN menyeru orang ramai memainkan peranan sebagai mata dan telinga pihak polis dengan menyalurkan maklumat yang boleh membantu tindakan penguatkuasaan,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.