
KUALA LUMPUR, 21 Oktober – Premis penyembelihan ayam yang mencetuskan persoalan mengenai pematuhan hukum syarak seperti dalam video tular, didapati tidak mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).
- Premis didaftarkan atas nama entiti lain, bukan milik Bhuiyen Sdn. Bhd., walaupun bekalan ayam hidup dari syarikat itu.
- DBKL telah mengarahkan premis ditutup sejak 10 Oktober akibat pelanggaran aspek kesihatan.
- JAKIM bersama KPDN, KKM, JAWI dan JAIS melakukan pemeriksaan serta akan ambil tindakan penguatkuasaan terhadap pelanggaran hukum syarak.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata, penemuan awal turut mendapati premis berkenaan didaftarkan atas nama entiti lain dan bukan milik Bhuiyen Sdn. Bhd., walaupun bekalan ayam hidup bagi aktiviti itu diperoleh daripada syarikat berkenaan.
“Pemeriksaan turut mendapati premis berkenaan telah diarahkan tutup oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sejak 10 Oktober lalu susulan pelanggaran aspek kesihatan.
“Sehubungan itu, JAKIM turut mengemukakan permohonan kepada DBKL bagi mendapatkan pengesahan berhubung status lesen premis dan entiti yang menjalankan aktiviti pemprosesan ayam tersebut bagi melengkapkan penelitian serta tindakan susulan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Risikan awal dan pemeriksaan di lokasi dilaksanakan JAKIM bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) serta Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
Datuk Dr Sirajuddin menegaskan, sebarang aktiviti penyembelihan yang tidak mematuhi hukum syarak dipandang serius.
“Pematuhan terhadap hukum syarak dalam proses penyembelihan merupakan perkara asas yang tidak boleh dipandang ringan.
“Sebarang pelanggaran yang dikenal pasti akan ditangani melalui tindakan penguatkuasaan berdasarkan peruntukan undang-undang dan bidang kuasa pihak berkuasa berkaitan,” katanya.
Beliau berkata, JAKIM akan terus bekerjasama dengan agensi penguat kuasa berkaitan bagi memperkukuh pemantauan dan memastikan tindakan sewajarnya diambil terhadap sebarang pelanggaran yang dikenal pasti.