
PUTRAJAYA, 20 Oktober – Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar (PAKW) menjadi panduan penting kepada kerajaan dalam menilai kecukupan pendapatan isi rumah serta merangka dasar ekonomi yang lebih bersasar mengikut lokasi dan keperluan keluarga.
- PAKW bukan penentu gaji minimum.
- Laporan Survei Gaji dan Upah Malaysia 2025 jadi rujukan menilai perkembangan dan jurang gaji mengikut kemahiran, pekerjaan dan sektor.
- Peningkatan gaji minimum sahaja tidak mencukupi tanpa struktur ganjaran yang mengambil kira kemahiran dan pengalaman.
- Penilaian struktur upah perlu ambil kira produktiviti dan kemampuan majikan, khususnya kapasiti terhad PMKS berbanding syarikat besar.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, PAKW bukan penentu gaji minimum, sebaliknya digunakan untuk mengukur tahap kecukupan pendapatan isi rumah dalam menampung kos sara hidup.
“Gabungan data ini membolehkan kerajaan merangka intervensi yang lebih bersasar berdasarkan keadaan sebenar isi rumah, termasuk perbezaan kos sara hidup mengikut lokasi, sekali gus merangka intervensi yang lebih bersasar.
“Laporan Survei Gaji dan Upah Malaysia 2025 yang diterbitkan pada September lalu turut menjadi rujukan penting untuk menilai perkembangan dan jurang gaji mengikut kemahiran, pekerjaan serta sektor,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapan bersempena Majlis Perasmian Hari Statistik Negara 2026 yang dibacakan Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Seri Mohd Shahar Abdullah, di sini.
Dalam pada itu, Akmal Nasrullah turut menegaskan bahawa peningkatan gaji minimum sahaja tidak mencukupi sekiranya tidak disertai struktur ganjaran yang mengambil kira perbezaan kemahiran dan pengalaman pekerja.
Menurutnya, risiko pemampatan jurang upah antara pekerja baharu dengan pekerja berkemahiran tinggi atau berpengalaman juga perlu diberi perhatian.
Justeru, penilaian struktur upah perlu mengambil kira tahap kemahiran, produktiviti serta kemampuan majikan, khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang mempunyai kapasiti berbeza berbanding syarikat besar.