
PARIS, 20 Oktober – Perancis mengumumkan pelaksanaan perintah berkurung di beberapa kawasan pada Isnin selepas penunjuk perasaan menyekat pintu masuk Muzium Louvre di Paris, susulan bantahan terhadap kenaikan kos sara hidup.
- Rusuhan hujung minggu mencetuskan keganasan jalanan terburuk dalam beberapa tahun.
- Perdana Menteri mempertimbangkan pengisytiharan darurat selepas polis dilaporkan gagal kawal rusuhan.
- Sekitar 500,000 orang berhimpun; bantahan bermula dengan tuntutan pelajar, kumpulan bertopeng mencetuskan keganasan dan vandalisme.
Tindakan itu susulan demonstrasi hujung minggu lalu yang mencetuskan keganasan jalanan terburuk di negara itu dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Perdana Menteri, Sebastien Lecornu, turut mempertimbangkan pengisytiharan darurat selepas Menteri Dalam Negeri berkata polis gagal mengawal keadaan ketika rusuhan berlaku.
Ketegangan itu tercetus enam bulan sebelum Perancis mengadakan pilihan raya bagi memilih pengganti Presiden Emmanuel Macron.
Pejabat Lecornu memaklumkan perintah berkurung itu akan dikuatkuasakan dari pukul 8 malam hingga 6 pagi pada Isnin dan Selasa di empat bandar di utara negara itu, termasuk Lille, bagi melindungi premis perniagaan, ketika menjelangnya satu lagi siri demonstrasi pada Sabtu ini.
“Saya benar-benar bertekad untuk memulihkan ketenteraman awam,” kata Lecornu.
Beberapa negara Eropah lain turut menyaksikan demonstrasi berhubung kenaikan harga, termasuk pergaduhan kecil di Milan, Itali dan Belgium pada hujung minggu lalu, manakala bantahan masih berlarutan di Sepanyol dan Portugal.
Kira-kira 500,000 orang menyertai demonstrasi di seluruh Perancis pada Sabtu bagi membantah peningkatan kos sara hidup.
Bantahan itu memuncak selepas empat minggu demonstrasi yang bermula dengan tuntutan pelajar supaya keadaan di sekolah menengah ditambah baik.
Demonstrasi yang pada awalnya berlangsung secara aman bertukar ganas di beberapa lokasi apabila kumpulan bertopeng menyerang anggota penguat kuasa, menceroboh dewan bandar raya serta bangunan awam lain dan membakar sebahagian premis berkenaan.-AFP