
KUALA LUMPUR, 19 Oktober – Perkembangan industri pusat data di Malaysia perlu dirancang secara strategik dalam usaha menarik pelaburan berkualiti dan memperkukuh ekonomi digital negara.
- Perancangan strategik pusat data penting untuk menarik pelaburan berkualiti, memperkukuh ekonomi digital serta menjamin kelestarian tenaga, air dan alam sekitar.
- Rangka Kerja Ekonomi Kitaran meningkatkan kecekapan sumber dan mengurangkan pembaziran melalui galakan penggunaan semula produk dan bahan.
- Pelaksanaan RKEK memerlukan penyelarasan berkesan antara sektor, kementerian dan agensi untuk memastikan pelaksanaan menyeluruh dan mampan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perancangan itu penting bagi memastikan pertumbuhan industri berkenaan mengambil kira kesiapsiagaan infrastruktur, bekalan tenaga serta kecekapan penggunaan sumber.
“Pertumbuhan industri ini perlu dirancang secara strategik bagi menarik pelaburan berkualiti, memperkukuh ekonomi digital serta memastikan kelestarian tenaga, penggunaan air dan alam sekitar terus terpelihara,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Datuk Seri Anwar berkata, perkara itu antara yang diteliti ketika beliau mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN).
Mesyuarat itu turut meneliti Rangka Kerja Ekonomi Kitaran (RKEK) yang bertujuan meningkatkan kecekapan penggunaan sumber serta mengurangkan pembaziran.
Menurut beliau, rangka kerja itu menggalakkan penggunaan semula produk dan bahan selama mungkin sebelum menjadi sisa.
Pelaksanaannya memerlukan penyelarasan berkesan antara sektor, kementerian dan agensi bagi memastikan pendekatan ekonomi kitaran dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan mampan, katanya.