
KUALA LUMPUR, 19 Oktober – Pendekatan keselamatan jalan raya secara bersepadu di peringkat nasional bakal dibentangkan menerusi kerta Kabinet bersama Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) dalam masa terdekat.
- Cadangan perlu tetapkan keutamaan, garis masa dan hasil terukur untuk pelaksanaan langkah keselamatan.
- Hampir dua pertiga daripada 6,537 kematian jalan raya melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal.
- Usaha kurangkan korban tidak boleh hanya tertumpu pada tingkah laku, infrastruktur selamat juga diperlukan.
- Perlu penyelarasan data PDRM, JPJ, JKR dan PBT dalam satu platform risikan nasional untuk perancangan berkesan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kertas berkenaan akan mengusulkan langkah menyeluruh bagi memperkukuh keselamatan jalan raya, khususnya melibatkan penunggang motosikal.
“Melalui pendekatan itu, apa yang diputuskan dalam resolusi kongres pada hari ini dapat dilaksanakan di seluruh negara,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kongres Keselamatan Jalan Raya (RSC) 2026 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), hari ini.
Beliau berkata, cadangan itu perlu menetapkan keutamaan pelaksanaan, garis masa serta hasil yang boleh diukur bagi memastikan langkah keselamatan yang terbukti berkesan dapat diperluas.
Berdasarkan statistik tahun lalu, hampir dua pertiga daripada 6,537 kematian akibat kemalangan jalan raya direkodkan membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal.
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid berkata, usaha mengurangkan angka korban tidak boleh hanya tertumpu kepada tingkah laku pengguna jalan raya, sebaliknya perlu turut melibatkan penyediaan infrastruktur yang lebih selamat.
“Kita sering menyalahkan penunggang motosikal dan tingkah laku mereka. Walaupun tanggungjawab individu memainkan peranan penting, namun keselamatan jalan raya perlu melibatkan semua pihak. Bagi kebanyakan orang, motosikal bukan sekadar pilihan gaya hidup, sebaliknya ia keperluan untuk mencari rezeki,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut menggesa agensi berkenaan supaya menyepadukan data keselamatan jalan raya ke dalam satu platform risikan nasional bagi memperkukuh perancangan dan pelaksanaan dasar.
Penyelarasan data antara Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) dilihat mampu membantu meningkatkan keberkesanan usaha membina sistem mobiliti yang lebih pintar dan selamat.
RSC 2026 dianjurkan oleh MIROS bersekali dengan pameran Ekspo Pengangkutan Asia 2026 dan Conference on Asia Road Safety (CARS 2026) di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).
Bertemakan “Safer & Smarter Mobility: Advancing Road Safety Towards Vision Zero”, kongres dua hari itu menghimpunkan penggubal dasar, penyelidik dan pemimpin industri bagi meneroka dasar, teknologi pintar serta penyelesaian bersepadu bagi mencegah kematian dan kecederaan akibat kemalangan jalan raya.