Menyamar juruiring Raja Muda, Istana Selangor serah tindakan polis

Foto Istana Selangor

SHAH ALAM, 19 Oktober – Pentadbiran Istana Selangor tidak akan melindungi mana-mana pihak yang terlibat dalam kes penyamaran sebagai Pengawal Peribadi Sulit kepada Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pentadbiran Istana menyerahkan kes kepada PDRM untuk siasatan menyeluruh, adil dan telus.
  • Orang ramai dinasihatkan mengesahkan individu yang mendakwa hubungan institusi diraja melalui saluran rasmi Istana.
  • Polis Selangor mengesahkan laporan, siasatan dibuka bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan usaha mengesan suspek sedang dijalankan.

Pejabat Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor dalam kenyataan memaklumkan pihaknya memandang serius laporan polis berhubung individu yang didakwa menyamar menggunakan kedudukan istana untuk memperdaya orang awam dalam urusan penjualan tanah dan kereta mewah bagi meraih keuntungan peribadi.

“Pentadbiran Istana Selangor memandang serius terhadap isu ini dan menyerahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk membuat siasatan menyeluruh dengan adil dan telus.

“Pihak pentadbiran istana juga tidak akan melindungi mana-mana pihak yang terlibat dalam kes ini,” menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya membuat pengesahan dengan Pentadbiran Istana Selangor sekiranya berurusan dengan individu yang mendakwa mempunyai kedudukan atau hubungan dengan institusi diraja.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar, mengesahkan pihaknya menerima laporan polis pada 15 Oktober daripada Pejabat Kawalan Keselamatan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Istana Mestika, berhubung kes berkenaan.

Menurut beliau, laporan itu membabitkan dakwaan penyalahgunaan gambar Raja Muda Selangor oleh pemilik akaun Threads ‘dwan_hamid’ yang dipercayai menyamar sebagai juruiring kepada baginda bagi memperdaya orang ramai dalam urusan pembelian rumah dan kenderaan.

Beliau berkata, kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, manakala usaha mengesan suspek sedang dijalankan.

Datuk Shazeli turut menasihatkan orang ramai supaya berwaspada dan membuat pengesahan melalui saluran rasmi sebelum melakukan sebarang transaksi kewangan bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.