
KUALA LUMPUR, 19 Oktober – Perkembangan industri pusat data di Malaysia perlu dirancang secara strategik bagi menarik pelaburan berkualiti dan memperkukuh ekonomi digital, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
- Perancangan perlu mengambil kira kesiapsiagaan infrastruktur, bekalan tenaga dan kecekapan penggunaan sumber bagi mengekalkan kelestarian tenaga, air dan alam sekitar.
- Rangka Kerja Ekonomi Kitaran memastikan penggunaan sumber lebih cekap, mengurangkan pembaziran dan menggalakkan penggunaan semula produk serta bahan.
- Pelaksanaan RKEK memerlukan penyelarasan berkesan antara sektor, kementerian dan agensi untuk pendekatan ekonomi kitaran menyeluruh dan mampan.
Beliau berkata, perancangan itu perlu mengambil kira kesiapsiagaan infrastruktur, bekalan tenaga serta kecekapan penggunaan sumber bagi memastikan pertumbuhan industri berkenaan tidak menjejaskan kelestarian tenaga, penggunaan air dan alam sekitar.
Menerusi hantaran di Facebook beliau berkata, perkara itu diteliti ketika beliau mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) hari ini.
“Mesyuarat turut meneliti Rangka Kerja Ekonomi Kitaran (RKEK) yang bertujuan memastikan sumber digunakan dengan lebih cekap, mengurangkan pembaziran serta menggalakkan penggunaan semula produk dan bahan selama mungkin sebelum menjadi sisa,” katanya.
Beliau berkata, pelaksanaan rangka kerja itu memerlukan penyelarasan berkesan antara sektor, kementerian dan agensi bagi memastikan pendekatan ekonomi kitaran dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan mampan.