Belanjawan 2027: Penguasaan sains data, teknologi kuantum diperkasa

Foto AFP

KUALA LUMPUR, 19 Oktober – Penekanan Belanjawan 2027 terhadap pendidikan dan latihan kemahiran dilihat mampu memperkasa penguasaan generasi muda dalam bidang sains data serta teknologi kuantum.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pembangunan bakat tempatan melalui pendidikan kukuh sedia ada bagi menghasilkan tenaga berdaya saing dalam sains data dan teknologi kuantum.
  • Teknologi kuantum dipandang penting untuk mempercepat pemprosesan data demi menyokong kemajuan kecerdasan buatan.
  • Kerajaan memperkukuh ekosistem dengan peruntukan kepada AI Malaysia Berhad, sasaran tenaga mahir, serta kesiapsiagaan pascakuantum dan perlindungan data tempatan.

Timbalan Presiden Akademi Profesor Malaysia, Profesor Emeritus Datuk Dr Mohamed Ridza Wahiddin berkata, penguasaan itu penting bagi melahirkan bakat tempatan yang berdaya saing dan memenuhi keperluan industri teknologi tinggi.

Menurutnya, sistem pendidikan dan latihan di Malaysia mempunyai asas sains serta teknologi yang kukuh untuk menyokong pembangunan kepakaran berkenaan.

“Disiplin ini bukan sesuatu yang asing kerana kita hanya memanfaatkan semula asas sedia ada untuk menceburi bidang baharu.

“Saya yakin pendekatan ini amat bertepatan serta sesuai untuk masyarakat di Malaysia,” katanya kepada RTM.

Mohamed Ridza turut menekankan peranan teknologi kuantum dalam mempercepat pemprosesan data, terutama bagi menyokong perkembangan kecerdasan buatan (AI).

Jelas beliau, keupayaan pemprosesan lebih pantas menjadi semakin penting seiring pertumbuhan penggunaan data dalam pelbagai sektor.

Ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat pada 9 Oktober lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan kepentingan generasi muda menguasai bidang masa hadapan termasuk pengekodan, sains data dan teknologi kuantum.

Kerajaan, katanya, memperuntukkan hampir RM15 juta kepada AI Malaysia Berhad bagi memperkukuh ekosistem AI yang selamat dan beretika, dengan sasaran melahirkan 200,000 tenaga mahir AI.

Dalam bidang teknologi kuantum, Malaysia kini diiktiraf pada tahap Tier 1 dalam kesiapsiagaan beralih kepada kriptografi pascakuantum.

Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) juga akan membangunkan teknologi perlindungan data tempatan bagi menghadapi ancaman komputer kuantum.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.