
KUALA TERENGGANU, 18 Oktober – Pemberian Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM750 kepada lebih sejuta pesara kerajaan menerusi Belanjawan 2027, disambut baik sekaligus membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap jasa dan pengorbanan mereka.
- KPPA tekankan inisiatif mencerminkan komitmen kerajaan menghargai jasa dan pengorbanan pesara.
- Kerajaan mempergiat program santuni pesara bagi membantu mereka mengikut keperluan dan keadaan semasa.
- KPPA melawat keluarga pesara, menyampaikan wang tunai, barangan asas dan kerusi roda sebagai sokongan terus.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Tan Sri Dr Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, Inisiatif itu mencerminkan komitmen kerajaan dalam menghargai sumbangan pesara yang pernah berkhidmat untuk negara, dengan kadar bantuan turut ditingkatkan berbanding tahun sebelumnya.
Pada masa sama, kerajaan sentiasa mengambil berat terhadap kebajikan golongan berkenaan dengan mempergiat program santuni pesara bagi membantu mereka yang memerlukan mengikut keperluan dan keadaan semasa.
“Ini jelas menunjukkan bahawa kerajaan MADANI bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak pernah mengabaikan pesara. setidak tidaknya ini mengurangkan sedikit beban pesara kerana pihak kerajaan amat menyedari kita tidak mampu sebenarnya untuk membalas jasa dan pengorbanan mereka sebelum ini,” katanya selepas melawat dan menyampaikan sumbangan wang tunai dan barangan asas kepada tiga keluarga pesara kerajaan, disini.
Bagi pesara guru, Soh Lay Liew, kunjungan berkenaan antara tanda penghargaan kerajaan terhadap jasa serta pengorbanan mereka sepanjang tempoh perkhidmatan.
“Saya berasa sangat gembira dan cukup istimewa kerana kehadiran Tan Sri membawa makna yang besar buat kami.
“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Tan Sri kerana sudi meluangkan masa untuk hadir dan menyantuni kami,” katanya.
Antara bantuan yang disalurkan termasuk kerusi roda dan barangan makanan bagi meringankan beban pesara yang memerlukan.
Menerusi Belanjawan 2027, kerajaan mengumumkan Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM750 kepada semua pesara kerajaan, termasuk veteran berpencen dan tidak berpencen.
Pembayaran bantuan itu akan dibuat dalam dua fasa, iaitu sebelum Aidilfitri dan sempena Ambang Tujuh Dasawarsa Merdeka.