
KUALA LUMPUR, 18 Oktober – Penggunaan mekanisme pengesahan umur dan identiti pengguna platform media sosial, termasuk melalui pelaksanaan sistem ‘electronic Know Your Customer’ (e-KYC) sedang diteliti, bagi meningkatkan keselamatan dalam talian.
- Akta Keselamatan Dalam Talian 2025, termasuk CPC dan RMC, belum lagi terpakai kepada mod komunikasi seperti WhatsApp.
- Menteri meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) meneliti isu pengesahan pengguna pada platform mesej.
- Kerajaan akan berhubung dengan Meta untuk mengetahui langkah WhatsApp mengesahkan umur pengguna dan mematuhi had umur.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, perbincangan itu turut merangkumi beberapa kaedah lain bagi mengesahkan pengguna platform digital.
“Kita memang dalam proses mengadakan perbincangan mengenai pemakaian e-KYC, pengesahan umur dan beberapa mekanisme lain untuk mengesahkan pengguna platform media sosial ketika ini.
“Namun, berdasarkan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA), iaitu Kod Perlindungan Kanak- Kanak (CPC) dan Kod Pengurangan Risiko (RMC) ketika ini, mod komunikasi seperti ‘WhatsApp’ belum lagi terpakai. Saya akan minta pihak MCMC meneliti perkara ini.
“Kita akan berhubung dengan pihak Meta kerana mereka mengendalikan ‘WhatsApp’, dan ‘WhatsApp’ itu sendiri menetapkan had umur. Jadi, kita mahu tahu apakah langkah yang diambil untuk mengesahkan pengguna bagi memastikan had umur yang ditetapkan dipatuhi,” katanya selepas Majlis Perasmian Penutup Program Smart Parents Interactive Hub (GenBina) di Dewan Cengal, IWK Eco Park, di sini pada Ahad.