
SHAH ALAM, 17 Oktober -Jadikan adab sebagai amalan harian meskipun dalam kepesatan kemajuan dunia digital dan media sosial arus perdana.
- Adab sejak kecil membentuk maruah negara; hormati orang tua, bertutur tertib dan jangan memandang rendah antara agama serta bangsa.
- Dalam era digital dan media sosial ramai lupa adab, bebas menghina, mencaci dan menjatuhkan maruah orang lain.
- Kebimbangan penyalahgunaan kecerdasan buatan menjana gambar dan video palsu bagi tujuan mengaibkan seseorang.
- Setiap kebebasan datang bersama tanggungjawab; gunakan media sosial dengan adab, hormat dan elakkan menghasut serta memecahbelah masyarakat.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bertitah, rasa cinta kepada negara dibina menerusi semangat perpaduan dan kebersamaan hidup dalam negara yang harmoni.
Justeru, adab yang diajar sedari kecil bukan sekadar bersopan santun sebaliknya nadi yang membentuk maruah negara.
“Dari kecil kita diajar tentang adab untuk menghormati orang tua; tertib dalam berbicara; dan tidak memandang rendah antara agama dan bangsa.
“Namun dalam kemajuan dunia digital dan media sosial pada hari ini, ada yang telah lupa adab dan bebas untuk menghina, mencaci, memaki hamun dan menjatuhkan maruah orang lain,” titah Baginda sempena Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi MARA (UiTM) ke-105 di Shah Alam, Selangor.
Seri Paduka Baginda turut menzahirkan kebimbangan mengenai penyalahgunaan medium kecerdasan buatan (Ai) dan media sosial.
“Ada pula yang menyalah guna teknologi kecerdasan buatan untuk menghasilkan gambar-gambar dan video palsu dengan niat untuk menghina dan memalukan seseorang.
“Ingatlah bahawa; di sebalik setiap nama dan wajah yang dibenci dan dicaci itu; ada insan yang mempunyai keluarga; maruah dan perasaan,” titah Baginda.
Baginda juga menegur sesetengah pihak yang menggunakan media sosial sebagai tempat untuk menghasut; menimbulkan kebencian dan memecah belahkan masyarakat.
“Suka saya ingatkan; setiap kebebasan datang bersama tanggung jawab. justeru; gunakan media sosial dengan penuh adab serta rasa hormat kepada orang lain.” titah Baginda lagi.
Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin, turut berkenan berangkat ke istiadat berkenaan, yang turut dihadiri Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir.
Hari pertama istiadat Konvokesyen UiTM ke 105 menyaksikan penganugerahan gelaran Profesor Emeritus kepada lima orang tokoh akademik atas bakti, kepakaran dan sumbangan mereka kepada universiti.
Seramai 15 graduan turut menerima Anugerah Graduan Terbaik daripada keseluruhan 32,630 graduan yang bakal menerima diploma dan ijazah dalam pelbagai bidang, termasuk 1,215 graduan pascasiswazah.