
KUALA LUMPUR, 16 Oktober – Kementerian Ekonomi mengadakan perbincangan bersama Telekom Malaysia bertujuan meneroka potensi penggunaan teknologi tempatan serta memperluas penglibatan pemain industri semikonduktor.
- Kerjasama strategik dengan Arm Limited untuk membangunkan ekosistem semikonduktor negara.
- Ekosistem menyeluruh mampu membuka peluang pekerjaan berkemahiran tinggi terutama dalam reka bentuk cip.
- Bahagian huluan reka bentuk cip menawarkan nilai tambah dan gaji lebih lumayan berbanding aktiviti hiliran.
- Program Arm On Demand Training disasarkan melatih pereka cip tempatan dan mewujudkan peluang pekerjaan.
Menterinya, Akmal Nasrullah Mohd Nasir menerusi hantaran di Facebook mengakui usaha itu merupakan antara inisiatif, susulan kerjasama strategik antara Kerajaan Malaysia dengan Arm Limited bagi membangunkan ekosistem semikonduktor negara.
“Pembangunan ekosistem semikonduktor yang menyeluruh berpotensi membuka lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi khususnya dalam bidang reka bentuk cip yang menawarkan pendapatan lebih lumayan.
“Gaji sekitar RM5,000 sebulan boleh diterima graduan bidang berkenaan ketika ini yang dijangka boleh meningkat kepada RM8,000 hingga RM9,000 dalam beberapa tahun sahaja.
“Pekerjaan jenis itu yang kita mahu anak-anak Malaysia nikmati di negara sendiri,” katanya menerusi hantaran berkenaan.
Tambah beliau, kejayaan membangunkan industri semikonduktor negara mampu memberi manfaat besar kepada generasi akan datang.
“Selama berdekad, Malaysia kukuh dalam bahagian hiliran semikonduktor, iaitu pemasangan, pengujian dan pembungkusan cip.
“Aktiviti itu penting, tetapi nilai tambahnya terhad dan yang menawarkan gaji tinggi ialah bahagian huluan, iaitu reka bentuk cip.
“Namun, pekerjaan seperti itu tidak akan wujud dengan sendirinya dan kita perlu membangunkan ekosistemnya,”jelasnya.
Beliau turut memaklumkan, selain itu, program Arm On Demand Training turut diberi perhatian bagi menyediakan latihan berkaitan kepada pelajar institusi pengajian tinggi swasta.
“Kita mahu ada pereka bentuk cip dalam kalangan anak tempatan dan dalam masa sama ada peluang pekerjaan yang tersedia untuk mereka,”katanya.