PM mahu Projek Residensi Siswa UM disasar siap lebih awal

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 15 Oktober – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu Projek Residensi Siswa Universiti Malaya (UM) disiapkan lebih awal daripada jadual asal.

RINGKASAN BERITA AI
  • Agensi kerajaan dan GLIC diarahkan mempercepat kelulusan serta pelaksanaan projek tanpa menjejaskan integriti dan kualiti.
  • Fasa pertama dijangka sediakan 10,000 mahasiswa; fasa kedua tambah 30,000, membantu mengurangkan tekanan kos sewaan sekitar universiti.
  • Kerajaan tekankan integriti, kawalan kos dan pencegahan ketirisan; syarikat gagal boleh digantikan; pembangunan perlu fokus kemanusiaan dan persekitaran.

Agensi kerajaan dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) diarah untuk mempercepat proses kelulusan serta pelaksanaan projek tanpa menjejaskan integriti dan kualiti pembangunan.

Menurut Perdana Menteri, projek itu perlu menjadi penanda aras baharu dalam penyediaan kediaman mahasiswa yang berkualiti.

“Saya akan memastikan perkara ini diberikan perhatian dalam mesyuarat tersebut. Saya telah memberikan jaminan bahawa semua jentera kerajaan, termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Kementerian Kewangan (MOF) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi memahami bahawa ini ialah projek keutamaan yang mesti disiapkan secepat mungkin,” katanya ketika berucap menyempurnakan pelancaran Projek Residensi Siswa UM, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, bagi fasa pertama, yang dijangka siap pada tahun 2030, akan menyediakan kemudahan kediaman bagi 10,000 mahasiswa, manakala fasa kedua dirancang untuk menampung tambahan 30,000 mahasiswa.

Inisiatif itu dijangka membantu menangani tekanan kos sewaan kediaman di sekitar universiti.

Dalam memastikan projek berjalan lancar, beliau menegaskan integriti, kawalan kos dan pencegahan ketirisan mesti menjadi keutamaan.

Katanya, kerajaan perlu mengambil iktibar daripada projek pembangunan terdahulu yang berdepan kelewatan, peningkatan kos dan kegagalan pelaksanaan.

Beliau turut memberi amaran bahawa syarikat yang gagal memenuhi tanggungjawab boleh digantikan bagi memastikan projek dilaksanakan mengikut sasaran.

“Saya mahu memastikan projek Residensi Siswa Universiti Malaya menjadi contoh yang boleh diteladani oleh agensi lain. Kita boleh melaksanakan projek yang cemerlang, bersih, bebas daripada rasuah dan berlandaskan dedikasi sepenuhnya,” tambah beliau.

Katanya, pembangunan Residensi Siswa tidak seharusnya tertumpu kepada penyediaan bangunan semata-mata.

Sebaliknya, aspek kemanusiaan, persekitaran kondusif, kemudahan bersesuaian serta elemen seni dan budaya perlu diberikan perhatian demi kesejahteraan penghuni.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.