
KUALA LUMPUR, 15 Oktober- Sarawak merekodkan 9,602 kes berkaitan dadah dengan 9,924 tangkapan bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini, meningkat berbanding 7,488 kes dan 7,790 tangkapan bagi tempoh sama tahun lalu.
- KDN memperkukuh strategi membendung dadah sintetik dan bahan psikoaktif baharu, menentang sindiket yang menggunakan teknologi digital serta perkhidmatan kurier.
- Keluasan geografi Sarawak dan jaringan sempadan darat, laut serta udara menuntut kawalan dan risikan berterusan oleh pihak berkuasa.
- Kabinet meluluskan Pelan Tindakan bagi KLIA dan pintu masuk utama, melaksanakan 17 syor termasuk saringan risiko, kawalan akses dan pengukuhan risikan.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) terus memperkukuh strategi membendung penyalahgunaan dan pengedaran dadah sintetik susulan cabaran termasuk kemunculan bahan psikoaktif baharu serta penggunaan teknologi digital dan perkhidmatan kurier oleh sindiket.
Beliau berkata keluasan geografi Sarawak serta jaringan sempadan darat, laut dan udara turut menuntut kawalan dan risikan berterusan oleh pihak berkuasa.
“Peningkatan jumlah kes dan tangkapan itu perlu ditafsir secara berhati-hati kerana angka berkenaan tidak semestinya mencerminkan peningkatan pengedaran atau penggunaan dadah, sebaliknya turut menggambarkan keupayaan pihak berkuasa mengesan dan mengambil tindakan terhadap kegiatan berkenaan,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Stampin, Chong Chieng Jen di Dewan Rakyat.
Pada 2025, Sarawak merekodkan 12,716 kes dengan 13,187 tangkapan, berbanding 9,992 kes dan 10,378 tangkapan pada 2024.
Sementara itu, nilai rampasan dadah oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sarawak bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini berjumlah RM50.1 juta, berbanding RM58.78 juta bagi tempoh sama tahun lalu.
Mengulas kawalan pintu masuk negara, Datuk Seri Dr. Shamsul berkata Kabinet meluluskan Pelan Tindakan Penambahbaikan dan Mitigasi Keselamatan bagi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) serta pintu masuk utama negara pada Ogos lalu.
Sebanyak 17 syor dilaksanakan secara berfasa, termasuk saringan berasaskan risiko, kawalan akses, tapisan keselamatan, saringan dadah terhadap personel penerbangan termasuk juruterbang serta pengukuhan risikan teknikal dan forensik.
Beliau menegaskan KDN tidak akan berkompromi dengan pegawai atau anggota PDRM yang didapati bersubahat atau melindungi sindiket pengedaran dadah, manakala tindakan tegas akan diambil mengikut undang-undang.
Dalam usaha pencegahan, KDN melalui Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) bersama PDRM turut memperkukuh program pencegahan dan pemulihan berasaskan komuniti, dengan tumpuan kepada golongan belia serta pelajar sekolah.