Belanjawan 2027: Pelarasan cukai tingkatkan pendapatan, aliran tunai

Foto Fail BERNAMA

KUALA LUMPUR, 15 Oktober – Inisiatif pelarasan cukai yang diumumkan menerusi Belanjawan 2027 dijangka meningkatkan pendapatan boleh guna rakyat serta aliran tunai perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), sekali gus merangsang aktiviti ekonomi domestik.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kenaikan had pelepasan cukai individu daripada RM9,000 kepada RM12,000 setahun memberi pelepasan lebih besar kepada pembayar cukai.
  • Pengurangan kadar cukai pendapatan individu sebanyak satu mata peratusan untuk beberapa banjaran pendapatan bercukai.
  • Kadar cukai PMKS diturunkan kepada 14% bagi RM150,000 pertama dan 16% bagi RM150,000 hingga RM600,000, penjimatan sehingga RM6,000.

Timbalan Presiden Persatuan Akauntan Percukaian Malaysia (MATA), Taqiyuddin Amini Abdul Satar berpandangan, kesan itu didorong kenaikan had pelepasan cukai individu, pengurangan kadar cukai bagi beberapa banjaran pendapatan serta penurunan kadar cukai PMKS.

Menurutnya, penjimatan cukai memberi ruang kepada pembayar cukai menyimpan lebih banyak wang untuk dibelanjakan semula dalam ekonomi domestik.

“Bila ada duit dalam poket dan duit itu dibelanjakan di Malaysia, ia dapat merancakkan perniagaan serta ekonomi negara.

“Saya rasa ia secara sengaja dirancang untuk merancakkan lagi perniagaan serta ekonomi negar,” katanya kepada RTM.

Bagi PMKS, pengurangan kadar cukai satu mata peratusan pula membolehkan penjimatan maksimum sehingga RM6,000.

Taqiyuddin berpendapat, lebihan aliran tunai itu boleh digunakan untuk menaik taraf peralatan kerja, menampung kos operasi atau dilaburkan semula bagi menjana pendapatan syarikat.

Ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat pada 9 Oktober lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kenaikan had pelepasan cukai individu daripada RM9,000 kepada RM12,000 setahun.

Kadar cukai pendapatan individu pemastautin turut dikurangkan satu mata peratusan bagi beberapa banjaran pendapatan bercukai.

Bagi PMKS, kadar bagi RM150,000 pertama pendapatan bercukai diturunkan kepada 14 peratus, manakala banjaran RM150,000 hingga RM600,000 dikurangkan kepada 16 peratus.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.