Kenya sahkan kes kedua Ebola

Pegawai Kementerian Kesihatan memeriksa suhu badan seorang pengembara di Pusat Pemeriksaan Busia di sempadan Kenya-Uganda/ Foto AFP

NAIROBI, 15 Oktober – Kenya mengesahkan kes kedua Ebola, namun tiada bukti penularan virus berbahaya itu secara besar-besaran, menurut Kementerian Kesihatan negara berkenaan pada Rabu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kes melibatkan seorang lelaki 39 tahun, ahli keluarga mangsa pertama; dikuarantin, diasingkan selepas mengalami demam, keletihan dan sakit sendi.
  • 128 individu dikenal pasti sebagai kontak; 113 dikesan, 108 sedang dikarantin di Kenya, lima berada di luar negara.
  • Strain Bundibugyo di DRC tiada vaksin atau rawatan khusus; wabak mencatatkan ribuan kes dan kematian.

Negara di Afrika Timur itu melaporkan kematian pertama akibat Ebola minggu lalu selepas seorang lelaki warga Kenya yang menetap di Republik Demokratik Congo (DRC) meninggal dunia sejurus pulang ke tanah air.

DRC mengisytiharkan wabak Ebola ke-17 pada Mei lalu, dengan pnyakit berbahaya itu telah meragut lebih 15,000 nyawa di Afrika sepanjang 50 tahun lalu.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Kesihatan Kenya mengesahkan kes kedua melibatkan seorang lelaki berusia 39 tahun, yang merupakan ahli keluarga terdekat mangsa pertama.

Lelaki itu telah dikuarantin dan dipantau sebelum jangkitan dikesan.

Dia diasingkan sebaik sahaja mengalami demam, keletihan dan sakit sendi sebelum menjalani ujian yang mengesahkan jangkitan Ebola.

“Lelaki berkenaan kini ditempatkan di pusat rawatan khas, dengan pasukan terlatih memberikan rawatan sokongan,” menurut kenyataan itu yang menekankan pengesanan awal dapat mengurangkan risiko penularan virus kepada orang lain.

Seramai 128 individu telah dikenal pasti sebagai kontak kepada kes pertama. Setakat Selasa, pihak berkuasa berjaya mengesan 113 daripada mereka.

Daripada jumlah itu, 108 individu sedang menjalani kuarantin di Kenya, manakala lima lagi berada di luar negara. Pihak berkuasa kesihatan di negara berkenaan telah dimaklumkan mengenai situasi itu.

Usaha mengesan baki 15 kontak masih diteruskan.

Sebelum ini, Kenya tidak pernah melaporkan sebarang kes Ebola.

Negara jirannya, Uganda, merekodkan 20 kes, hampir semuanya melibatkan individu yang pernah melakukan perjalanan dari DRC, serta dua kematian sebelum diisytiharkan bebas Ebola pada Ogos lalu.

Mangsa pertama di Kenya merupakan seorang lelaki warga negara itu yang tidak didedahkan identitinya, tetapi dikenal pasti sebagai ahli perniagaan berusia 40 tahun.

Dia mula jatuh sakit kira-kira sebulan lalu dan menerima rawatan di DRC sebelum melakukan perjalanan darat ke Kampala, Uganda, kemudian menaiki penerbangan ke Nairobi pada 3 Oktober.

Menurut Menteri Kesihatan Kenya, Aden Duale, lelaki itu dimasukkan ke hospital di Nairobi sebelum meninggal dunia pada 5 Oktober.

Sementara itu, pihak berkuasa kesihatan Congo melaporkan wabak berkenaan telah menjangkiti 9,066 individu dan mengorbankan 4,381 nyawa setakat ini, sejak kemunculan strain Bundibugyo virus Ebola di DRC.

Strain berkenaan masih belum mempunyai vaksin atau rawatan khusus. -AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.